KUALA LUMPUR (Bernama): Kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital penting dalam pendidikan masa depan, namun penggunaannya perlu diseimbangkan dengan pembentukan akhlak, nilai kemanusiaan dan budi pekerti dalam kalangan murid, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi perkongsian video di laman Facebook, Perdana Menteri berkata AI mempunyai keupayaan dari segi pengetahuan dan kepintaran tetapi tidak memiliki nilai, akhlak serta kemanusiaan seperti yang perlu dipupuk serta dimiliki manusia.
“Kita ke arah itu (penggunaan teknologi) tetapi ada juga peringatan sebab itu kita menggapai di langit, mengakar di bumi. Kenapa? Sebab sementara AI itu penting, tetapi ada juga masalah.
“… (AI) ada pengetahuan tetapi hilang kemanusiaan dan rendah akal budi. AI tidak ada nilai, tiada akhlak, tidak ada kemanusiaan. Hanya kepintaran,” kata beliau.
Anwar berkata demikian menjawab pertanyaan seorang pelajar mengenai kemungkinan semua sekolah di negara ini menggunakan teknologi seperti tablet, komputer riba dan AI pada masa hadapan.
Terdahulu, beliau beramah mesra dengan pelajar dari sekolah-sekolah di sekitar Pasir Gudang dan Pontian, Johor di bangunan Parlimen hari ini.
Perdana Menteri berkata negara sememangnya bergerak ke arah penggunaan teknologi dalam pendidikan, namun kemajuan itu perlu disertai kesedaran tentang batasan teknologi dan kepentingan mengekalkan nilai kemanusiaan.
Anwar berkata kepintaran semata-mata tidak memadai sekiranya tidak disertai nilai dan akhlak, dengan pendidikan perlu terus memberi penekanan kepada pembentukan insan yang seimbang.
“Teknologi penting tak? Penting. Tidak ada kepintaran bahaya tetapi kalau kita hanya tertumpu kepada kepintaran, nilai kemanusiaan tidak ada.
“Jadi, sementara kita menuju ke arah itu (penggunaan teknologi), peringatan kepada kita ialah untuk bagaimana kita kekal sebagai manusia,” kata beliau.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan konsep akal budi dalam budaya Melayu yang mengaitkan kemampuan berfikir dengan akhlak, sekali gus menunjukkan bahawa kecerdasan seseorang tidak seharunya diukur berdasarkan pengetahuan semata-mata.
Sehubungan dengan itu, beliau mengajak pelajar membudayakan amalan menghargai ibu bapa dan menzahirkan kasih sayang dalam kehidupan seharian.
Anwar berkata amalan kecil seperti memeluk dan mencium ibu bapa serta menunjukkan penghargaan kepada mereka dapat memupuk nilai kasih sayang dan kemanusiaan yang perlu terus dipelihara meskipun masyarakat semakin maju dengan teknologi.
“Boleh tak kita mula budaya baharu? Peluk, cium ibu bapa. Saya pernah tengok, dia balik dia cium. Bapa dia hairan apa yang dia nak daripada aku ni? Sebab tidak pernah terjadi budaya itu. Bagi penghargaan, tunjuk kasih sayang. Tidak ada rugi pun,” kata beliau. — BERNAMA






























