Gambar hiasan
PHNOM PENH (Bernama): Lembu jantan baka kacukan bernilai tinggi menjadi ‘hero’ dalam memacu industri penternakan lembu di Kemboja.
Penternak lembu jenis berkenaan di kampung boleh meraih pendapatan menerusi bayaran bagi sesi pembiakan untuk menghasilkan anak lembu yang lebih kuat dan sihat.
Bagi Peng, seorang penternak lembu tradisional Kemboja di pinggir Phnom Penh, lembu jantan miliknya menjadi sumber rezeki utama keluarga. Haiwan itu menjana pendapatan setiap kali penternak tempatan membawa lembu betina untuk tujuan pembiakan.
Dengan berat kira-kira 900 kilogram (kg), lembu jantan baka kacukan jenis Brahman itu, yang memiliki bonggol ketara, gelambir tebal dan telinga panjang terkulai, menjadi pilihan utama dalam kalangan penternak lembu tempatan.
“Saya mengenakan bayaran sebanyak US$60 (RM249) untuk satu sesi pembiakan. Jika lembu betina itu tidak bunting, sesi pembiakan kedua adalah percuma.
“Penternak lembu dari kampung saya membawa lembu betina mereka kepada lembu jantan saya kerana mereka mahukan anak lembu yang kuat, yang dapat dijual pada harga lebih tinggi di pasaran,” kata Peng kepada Bernama melalui jurubahasa.
Berusia dalam lingkungan 30-an, Peng tinggal di sebuah pondok kayu kecil di Kampung Prek Bongkong, daerah Arey Ksat, Wilayah Kandal.
Lembu jantan Peng unik, begitu juga dengan perniagaannya.
Peng memiliki seekor lembu kacukan Brahman yang dibelinya pada harga AS$3,000 (RM12,000) daripada seorang penternak lain.
Kisah ketibaan lembu Brahman di Kemboja itu sendiri cukup menarik. Kira-kira dua dekad lepas, kerajaan melancarkan kempen untuk menambah baik populasi lembu kebangsaan, dengan matlamat yang didorong sepenuhnya oleh faktor ekonomi iaitu haiwan yang lebih besar bermakna lebih banyak daging, hasil susu lebih baik, serta harga pasaran yang lebih tinggi.
Kemboja sebelum ini hanya dikenali dengan lembu kuningnya, atau dikenali sebagai ‘Kor Khmer’, sejenis baka tempatan yang bersaiz lebih kecil dan banyak digunakan untuk kerja serta daging.
Berat purata lembu Kor Khmer semasa disembelih adalah antara 220 hingga 250 kg manakala lembu kacukan boleh mencapai berat sekitar 300 kg.
Terdapat kira-kira 3.4 juta ekor lembu dan kerbau di Kemboja.
Baka Brahman menepati strategi kerajaan iaitu kacukannya dengan lembu tempatan menghasilkan anak lembu yang lebih besar, yang mampu bertahan dalam keadaan cuaca mencabar di Kemboja, terutamanya musim panas terik dan musim hujan yang panjang.
Peng dan lembu jantannya menyumbang kepada penambahbaikan populasi lembu di Kemboja dengan menghasilkan anak lembu yang lebih besar, membesar dengan lebih pantas, serta menghasilkan lebih banyak daging berbanding lembu tempatan.
“Pembiakan silang ini membantu lembu tempatan melahirkan anak yang kuat. Lembu jantan saya sihat dan mampu melakukan 10 sesi pembiakan dalam sehari.
“Para penternak lebih gemar membawa lembu mereka untuk mengawan pada Hari Buddha (hari suci penganut Buddha) setiap bulan. Kadangkala saya menerima dua hingga tiga tempahan seminggu, dan ada kalanya tiada langsung,” katanya.
Penjagaan lembu jantan itu merupakan tugas yang mencabar bagi Peng dan keluarganya, walaupun haiwan itu sendiri mempunyai daya tahan yang kuat terhadap haba, serangga dan penyakit.
“Ia makan kira-kira 30 hingga 40 kg rumput setiap hari dan makan sebanyak tiga kali sehari. Selain rumput, kami turut memberikan jagung, sisa tebu dan dedak padi sebagai makanan,” kata Peng.
Menurut satu kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan oleh Bank Pembangunan Asia dan Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Kemboja, baka kacukan Brahman mendapat sambutan baik dalam kalangan penternak di Kandal serta wilayah lain di sepanjang Sungai Mekong.
Kerancakan aktiviti penternakan lembu adalah penting bagi menampung keperluan penduduk Kemboja yang kini berjumlah 17 juta orang, dengan permintaan terhadap daging lembu mencecah lebih 90,000 tan metrik tahun lepas.
Penternak kecil Kemboja memenuhi kira-kira 95 peratus permintaan daging lembu dalam negara, menurut kementerian itu. — BERNAMA


































