Mustapha Sakmud
KOTA KINABALU (Bernama): Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) Jabatan Perdana Menteri telah memulakan libat urus dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan hala tuju dan mekanisme pelaksanaan cadangan penambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata beliau mengetuai BHESS dalam kunjungan hormat kepada Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun hari ini bagi membincangkan perkara berkenaan.
Beliau berkata pertemuan itu susulan perkembangan di peringkat Kerajaan Persekutuan, termasuk Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 Sept lepas yang mengambil maklum bahawa perkara berkenaan telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Mustapha berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan terdapat kewajaran untuk meningkatkan kadar nisbah Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada perbincangan lanjut bersama-sama SPR.
“Pada masa ini, Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi atau 25.3 peratus daripada keseluruhan Dewan Rakyat. Cadangan yang dikemukakan ialah untuk menjadikan keseluruhannya kepada 35 peratus secara seimbang dengan kerusi di semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata perbincangan hari ini turut memberi tumpuan kepada proses serta pertimbangan perlembagaan, perundangan dan teknikal termasuk aspek persempadanan bahagian pilihan raya, data yang diperlukan serta bentuk libat urus antara Kerajaan, SPR dan pihak berkepentingan.
“Hal ini bukan semata-mata soal menambah kerusi. Ia berkaitan usaha memastikan kedudukan dan suara Sabah serta Sarawak dalam Parlimen terus diperkukuh selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia dan pelaksanaan MA63,” katanya. — BERNAMA
































