LOS ANGELES (Bernama-Xinhua): Negeri California di Amerika Syarikat pada Isnin mengisytiharkan darurat bagi membuat persiapan menghadapi musim El Nino yang dijangka berisiko menjadi antara paling luar biasa dalam sejarah, lapor Xinhua.
Pengisytiharan itu akan menggerakkan sumber negeri dan mempercepatkan persiapan menjelang kemungkinan berlaku ribut musim sejuk, banjir pantai serta pelbagai kesan lain, menurut kenyataan pejabat gabenor.
“Fenomena El Nino yang sedang terbentuk sudah mencatat rekod dan peramal cuaca menjangkakan ia akan terus menguat, malah berpotensi menjadi yang terkuat pernah direkodkan,” menurut kenyataan itu.
Pengisytiharan itu mengarahkan agensi negeri melindungi komuniti yang terdedah, membuat persiapan menghadapi gangguan di jalan raya dan infrastruktur kritikal, menyediakan bekalan kecemasan serta membantu agensi tempatan mengurangkan risiko banjir, tanah runtuh dan bahaya berkaitan kawasan pantai.
El Nino ialah corak iklim semula jadi yang dicirikan oleh suhu laut yang lebih panas daripada purata di kawasan tropika timur Lautan Pasifik. Fenomena itu boleh mengubah corak cuaca dan menyebabkan musim sejuk yang lebih lembap serta lebih ekstrem di California, menurut pejabat gabenor.
Pejabat itu menggesa penduduk California mendaftar untuk menerima amaran kecemasan dan menyediakan pelan pemindahan. — BERNAMA-XINHUA
































