Masiung Banah
KOTA KINABALU: Kerajaan perlu menjalinkan hubungan dua hala dengan penggiat seni, ikon sukan dan mahasiswa sebagai rakan strategik berimpak tinggi, kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Masiung Banah.
Beliau berkata, kerjaya dan latar belakang ketiga-tiga golongan itu mempunyai pengaruh luas sebagai agen perubahan masyarakat.
“BBC melihat karyawan seni, bintang sukan dan intelektual harus mempunyai hubungan rapat dengan Kerajaan supaya mereka tidak berasa dipinggirkan.
“Apabila Kerajaan kurang mendekati, mereka mula melontarkan pelbagai reaksi negatif terhadap isu semasa termasuk masalah elektrik, air dan jalan raya di negeri ini,” katanya.
Masiung berkata, jika dipersetujui Kerajaan, BBC merancang mengadakan satu kolaborasi santai yang menghimpunkan ketiga-tiga golongan itu menerusi forum bersama.
Katanya, forum berkenaan membolehkan Kerajaan mendengar maklum balas jujur dan idea segar daripada mereka.
Menurutnya, kelompok berkenaan mempunyai pengaruh, merit dan dinamisme unik untuk menterjemah serta menyebarluaskan dasar kerajaan kepada pelbagai peringkat masyarakat.
“Kita yakin menerusi perkongsian forum berkenaan kelak, ketulusan idea ketiga-tiga kluster berbeza itu dapat diketengahkan dan mereka boleh meluahkan pandangan tuntas merentasi batas politik dan agama,” katanya.
Masiung berkata, penggiat seni mempunyai keupayaan luar biasa untuk menyentuh emosi rakyat menerusi karya seni, muzik, drama, filem dan sastera bagi menyuntik dasar pembangunan kerajaan.
“Forum itu lebih merupakan peluang kepada karyawan seni berinteraksi dengan wakil kerajaan, tambahan lagi bidang mereka selalu tercicir dalam pembentangan belanjawan Kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, Masiung berharap usaha ke arah penyatuan penggiat seni di Sabah dan Kerajaan Negeri dapat direalisasikan.
Pada masa sama, katanya, Kerajaan dapat mendengar keluhan industri kreatif mengenai kebajikan artis, hak cipta dan pembiayaan ekosistem seni.
Masiung yang juga ADUN Kuamut berkata, atlet dan bintang sukan tidak boleh diketepikan kerana mereka merupakan generasi muda yang berupaya menyatukan bangsa secara berkesan, merentasi batas geopolitik.
Jika cadangan forum itu menjadi kenyataan, katanya, bintang sukan boleh menjadi platform untuk membincangkan hala tuju sukan tanah air selain pelaburan dalam fasiliti sukan selepas mereka bersara.
Sementara itu, katanya, golongan mahasiswa yang mewakili suara anak muda celik teknologi kecerdasan buatan (AI) dan berilmu juga harus didekati sebagai generasi pelapis.
“Mahasiswa boleh bertindak sebagai ‘duta’ pendidikan serta mempunyai pengaruh menyampaikan mesej kerajaan kepada komuniti setempat dan rakan sebaya.
“Mereka juga boleh menghasilkan kandungan menerusi video pendek dan coretan santai yang memberi motivasi kepada anak muda,” katanya.
Masiung berkata, golongan intelek itu turut boleh menyokong ketegasan Kerajaan dalam menentang ketirisan dan salah guna kuasa.


































