Jamawi (empat dari kiri) menyampaikan replika kunci jentera pembajak dan penuai kepada Dr. Ramle.
KOTA KINABALU: Penyerahan 75 unit jentera pertanian pelbagai jenis kepada Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) dijangka membawa perubahan besar dalam usaha memodenkan dan menyusun semula industri tanaman padi di negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, jentera pembajak dan penuai itu akan membantu memberi semangat kepada petani untuk meneruskan perusahaan tanaman padi.
“Dengan adanya bantuan 75 buah jentera pembajak dan penuai ini, saya yakin ia akan memberikan sedikit semangat kepada petani kita untuk meneruskan perusahaan menanam padi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan 75 Unit Jentera Pertanian Pelbagai Jenis LPBS di KKIP, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan turut menyedari sebahagian petani terdiri daripada generasi lama yang tidak lagi berkemampuan mengusahakan sawah padi.
Jamawi mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang meluluskan peruntukan khas ini untuk keperluan petani dan pesawah Padi Negeri Sabah khususnya.
Sehubungan itu, katanya, satu skim Mini Estate diperkenalkan mulai tahun ini bagi mengusahakan kawasan sawah yang telah lama terbiar.

Jamawi (empat dari kanan) bersama tetamu yang hadir menyempurnakan upacara memotong riben.
“Setakat ini kita telah mengenal pasti enam syarikat yang berjaya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pemilik tanah dan mengusahakan tanah tersebut secara sistem Mini Estate,” katanya.
Pada masa sama, katanya, 19 lagi syarikat masih dalam penilaian selepas dijemput memilih kawasan sawah yang terbiar untuk diusahakan.
“Masih ada lebih kurang 15,000 ekar kawasan tanah padi yang selama ini ditanam tetapi sudah kira-kira lapan hingga 10 tahun terbiar dan tidak ditanam padi,” katanya.
Jamawi berkata, sekiranya kawasan berkenaan dapat diusahakan menerusi sistem Mini Estate, di samping bantuan jentera baharu kepada petani yang masih mengusahakan sawah, Kerajaan yakin tahap sara diri (SSL) tanaman padi dan beras Sabah dapat ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus dalam tempoh lima tahun.
“Sekiranya kita dapat meningkatkan hasil sehektar, ia akan lebih daripada 30 peratus,” katanya.
Beliau berkata, sasaran itu merupakan komitmen LPBS dan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan dalam memajukan sektor tanaman padi Sabah.
Menurutnya, enam kawasan jelapang padi di bawah LPBS telah dikenal pasti untuk menerima manfaat mekanisasi berkenaan, dengan dua daerah mempunyai pecahan daerah kecil.
“Kawasan tumpuan utama ialah Kota Belud kerana kawasan sawah padinya besar, iaitu lebih kurang 8,000 ekar. Ini menjadi tumpuan utama kita supaya mereka mendapat mekanisasi yang lebih sesuai,” katanya.
Katanya, daerah-daerah kecil pula akan menerima sebahagian daripada jentera berkenaan, khususnya kawasan yang petaninya telah memberikan komitmen untuk menghasilkan padi dengan lebih lumayan.
Jamawi berkata, petani yang masih memerlukan bantuan jentera perlu terlebih dahulu membangunkan kawasan masing-masing secara teratur sebelum bantuan diberikan.
“Kita akan nilai sekiranya ada keupayaan untuk mereka mendapatkan bantuan jentera. Tetapi buktikan dahulu mereka mempunyai satu sistem, kawasan yang dibangunkan secara teratur dan mekanisme untuk menjaga mesin-mesin ini supaya boleh bertahan lama,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan kali ini tidak hanya melibatkan pembahagian jentera, sebaliknya turut merangkumi pemindahan teknologi dan pembangunan pusat servis bersama syarikat pembekal.
Katanya, semua perkara itu telah dimasukkan dalam dokumen tender yang diproses dan diberikan kepada syarikat yang berjaya memenangi tender berkenaan.
“Jadi, akan ada satu hubungan daripada pembekalan mesin sehinggalah kepada proses servis dan pemindahan teknologi. Orang kampung juga akan memahami bagaimana menggunakan mesin ini secara teratur supaya boleh digunakan untuk tempoh yang lama,” katanya.
Jamawi berkata, sebelum ini beliau sering mengikuti program pembahagian jentera, namun tidak diketahui ke mana jentera-jentera berkenaan selepas diserahkan.
Beliau berkata, pendekatan baharu itu diharap dapat memastikan jentera yang dibekalkan diselenggara dan dimanfaatkan dalam tempoh panjang.
Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata, beliau dimaklumkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pertanian dan Kementerian Jaminan Makanan bahawa Menteri Kewangan telah bersetuju membantu LPBS dalam pembangunan padi secara Mini Estate serta meningkatkan hasil padi bagi setiap ekar.
“Jadi, kita akan mengadakan mesyuarat susulan pada 21 haribulan ini di Putrajaya bersama kementerian berkaitan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri dalam usaha membangunkan industri padi di Sabah.
“Saya yakin dan percaya jika ia dapat dilaksanakan secara teratur dan terancang, ia akan menjadi pemangkin kepada rakyat Sabah, terutamanya penanam-penanam padi, dalam memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat di peringkat bawahan,” katanya.
Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras di Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Datuk Haji (Datu) Rosmadi Datu Sulai; Pembantu Menteri, Datuk Haji Ruslan Muharam; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Ts Jifrin Mohammad; Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Dzulkernain Awg Hassan; Pengurus Besar LPBS, Datuk Dr Ts Ramle Hj Kasin; Timbalan Pengerusi LPBS, Datuk Musbah Hj Jamli; Pengarah World Star dan Ketua Pegawai Eksekutif Agriculture Machinery (Sabah), Lee Ban Lye dan Lee Wei Kee serta pegawai -pegawai kementerian.






























