KUALA LUMPUR (Bernama): Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) menyelesaikan terbitan sukuk pertama bernilai RM350 juta di bawah Program Sukuk Wakalah RM3 bilion.
SEC dan Maybank Investment Bank Bhd dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan sukuk itu menerima penarafan jangka panjang AAA dengan prospek stabil daripada RAM Rating Services Bhd.
Sukuk itu turut ditawarkan melalui proses penetapan harga, iaitu kaedah pertama seumpamanya bagi syarikat berkaitan kerajaan negeri Sabah.
“Terbitan itu menerima lebihan langganan yang memberangsangkan sebanyak 2.2 kali walaupun pasaran mengalami ketidaktentuan susulan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan SEC Datuk Adzmir Abd Rahman berkata terbitan pertama itu menandakan penubuhan Program Sukuk Wakalah pertamanya, yang menawarkan SEC dengan platform pembiayaan fleksibel dan boleh dipertingkatkan skalanya bagi menyokong agenda PETA 2030 SEC.
Agenda itu memberi tumpuan kepada pengukuhan teras gas dan infrastruktur, peluasan penjanaan tenaga dan tenaga boleh baharu serta pelaburan yang berdisiplin merentasi rantaian nilai tenaga Sabah.
“Seterusnya, ini menyokong hasil lebih menyeluruh yang digariskan menerusi Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SERAMP 2040), iaitu jaminan tenaga yang lebih kukuh, peralihan tenaga yang pantas serta bekalan tenaga yang dipercayai untuk Sabah,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Banking Group Michael Oh-Lau berkata terbitan itu akan meluaskan dan mempelbagaikan akses SEC kepada pembiayaan jangka panjang dalam ringgit selain meningkatkan profil SEC dan Sabah dalam kalangan pelabur institusi tempatan serta antarabangsa.
“Lebihan langganan yang kukuh itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kekuatan kredit dan prospek pertumbuhan SEC. Kami berbangga dapat menyokong pembangunan infrastruktur Sabah serta kedudukan negeri itu dalam ekosistem tenaga ASEAN,” katanya.
Maybank Investment Bank berperanan sebagai penasihat utama tunggal, pengatur utama tunggal, pengurus utama tunggal, penasihat tunggal penstrukturan kemampanan, penasihat Syariah dan ejen kemudahan bagi urus niaga berkenaan. — BERNAMA
































