KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE) bersiap siaga bagi memastikan bekalan elektrik kepada pengguna di Sabah kekal stabil sepanjang kerja penyelenggaraan Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) yang dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 28 Ogos 2026.
Dalam kenyataan hari ini, SE memaklumkan penutupan sementara bekalan gas di kawasan Kimanis akan dilaksanakan bagi memberi laluan kepada kerja penyelenggaraan oleh Petronas.
Kedua-dua loji jana kuasa bebas (IPP) yang terlibat akan terus beroperasi dengan beralih kepada penggunaan bahan api alternatif, iaitu diesel.
Kesemua pihak terbabit telah membuat persediaan rapi dengan menyelaras operasi, mengoptimumkan sumber penjanaan serta mempertingkatkan pemantauan sistem sepanjang tempoh penyelenggaraan berkenaan.
Pasukan operasi dan teknikal juga berada dalam keadaan siap siaga sekiranya berlaku kejadian luar jangka yang menyebabkan kekangan kapasiti penjanaan.
Sebarang kemungkinan catuan bekalan hanya akan dilakukan mengikut keperluan pada beberapa tempoh tertentu, dengan impak seminimum yang boleh.
Langkah berkenaan merupakan tindakan terakhir bagi mengelakkan ketidakstabilan sistem yang lebih besar, selain memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan grid elektrik secara keseluruhan terus terpelihara.
Orang ramai juga digalakkan menggunakan elektrik secara berhemah, khususnya pada waktu permintaan beban tinggi, serta mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi SE.
































