KOTA KINABALU: Persidangan Perwakilan Tahunan Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Kali Ke-41 Tahun 2026 akan berlangsung pada 25 September ini di Likas Square Ballroom, bermula pukul 2 petang.
Pengerusi Penganjur Persidangan Pemuda PBS, Shahrun Nidzam Sharoom berkata, persidangan kali ini penting kerana melibatkan pemilihan kepimpinan Pergerakan Pemuda PBS bagi sesi 2026–2029.
Menurutnya, persidangan berkenaan juga merupakan persidangan tahunan terakhir sebelum PBS beralih kepada pelaksanaan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan selepas ini.
“Pada sebelah pagi, Majlis Perasmian Bersama Persidangan Perwakilan Tahunan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBS akan berlangsung di Dewan Hakka, Likas.
“Majlis berkenaan dijangka dirasmikan oleh Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Shahrun berkata, pendaftaran perwakilan akan dibuka lebih awal pada 24 September, bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang.
Pada hari sama, Majlis Makan Malam Perwakilan Pemuda akan diadakan pada pukul 7 malam di Hung Xing Seafood Restaurant, KDCA.
Menurutnya, majlis makan malam itu juga dijangka dirasmikan oleh Dr. Joachim dan turut dihadiri beberapa pemimpin tertinggi PBS.
Sementara itu, Shahrun berkata, semua pencalonan serta penerimaan dan penolakan calon yang layak bertanding sudah diteliti dan diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan Pergerakan Pemuda PBS.
Katanya, Datuk Dr. Christopher Mandut terus diberikan mandat untuk menerajui Pergerakan Pemuda PBS sebagai Ketua Pemuda Pusat selepas Dr. Rockey Jerome Budin membuat keputusan menolak pencalonan untuk bertanding bagi jawatan berkenaan.
“Jawatan Timbalan Ketua Pemuda serta semua jawatan Naib Ketua Pemuda mengikut kuota masing-masing turut menyaksikan calon menang tanpa bertanding.
“Bagaimanapun, pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) akan menyaksikan pertandingan melibatkan lapan calon bagi Kuota Bumiputera Bukan Muslim, lapan calon bagi Kuota Bumiputera Muslim dan sembilan calon bagi Kuota Tionghoa,” katanya.
Beliau berkata, persidangan itu akan menjadi medan penting untuk memperkukuh kesatuan, menentukan hala tuju serta mempersiapkan barisan kepimpinan Pemuda PBS bagi menghadapi cabaran politik dan memperjuangkan kepentingan generasi muda Sabah.
































