Masiung Banah
KOTA KINABALU: Selepas negara diancam dadah ‘magic mushroom’, sejenis perisa rokok elektronik (vape), kini timbul pula ancaman dadah sintetik baharu yang dikenali sebagai ‘blackout’ atau ‘zombi’.
ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, walaupun belum terdapat laporan mengenai kes bahan berbahaya itu di Sabah, pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam sentiasa mengawasi semua pintu masuk ke tanah besar Sabah.
Beliau menggesa pihak berkuasa keselamatan, terutama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), memperketatkan kawalan fizikal dan logistik di semua pintu sempadan dari negara jiran.
“Mengikut laporan AADK, varian baharu dadah yang dilabelkan sebagai ‘blackout’ itu 100 kali lebih kuat daripada morfin. Dadah sintetik itu juga dikenal pasti telah memasuki pasaran gelap di negara ini.
“Cecair terlarang itu bukan sahaja boleh dijadikan perisa vape, tetapi turut dicampurkan dalam minuman atau makanan selain dititiskan pada batang rokok sebelum disedut,” tegasnya.
Sambil memetik laporan AADK, Masiung berkata, cecair ‘blackout’ atau ‘zombi’ mengandungi dos berlebihan yang menyebabkan pengguna menjadi terlalu khayal, pasif dan tidak sedarkan diri.
Bahan khayal itu juga dicampurkan dengan ketamin dan sejenis racun ‘psikotropik’ yang berbahaya kepada fizikal manusia.
“Pengguna akan hilang kewarasan dan hilang fikiran, sekali gus menyerang saraf otak dan sistem fizikal,” katanya.
Masiung berkata, kemasukan bahan terlarang itu ke negara ini merangkumi pelbagai taktik, termasuk melalui pengangkutan laut dan udara.
Beliau tidak menolak kemungkinan bahan terlarang itu diproses oleh sindiket antarabangsa atau tempatan untuk pasaran gelap di negara ini.
Beliau menegaskan sindiket berkenaan mungkin menggunakan pelbagai modus operandi, termasuk penghantaran pos laju dan aplikasi dalam talian untuk mengaburi pihak berkuasa.
































