KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh agenda menggalakkan penggunaan dan pembelian produk tempatan menerusi kerjasama strategik bersama Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 sebagai sebahagian daripada pelaksanaan gerakan Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, JOM MALAYSIA merupakan strategi transformasi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang diperkenalkan sejak 1984.
Katanya, inisiatif itu bertujuan menggalakkan rakyat mengutamakan produk tempatan, mengurangkan kebergantungan terhadap import serta memperkukuh daya saing industri dan usahawan tempatan, termasuk di pasaran antarabangsa.
KLFW 2026 yang berlangsung di Esplanade KLCC dari 3 hingga 9 Ogos menghimpunkan lebih 50 pereka fesyen dan jenama tempatan yang menampilkan kira-kira 800 rekaan kreatif sepanjang tujuh hari penganjuran.
Program itu turut diserikan dengan pelbagai pengisian termasuk pameran jenama, sesi padanan perniagaan, perkongsian industri dan aktiviti libat urus melibatkan pemain industri fesyen tempatan serta antarabangsa.
Menurut Armizan, sebagai platform fesyen paling berprestij di negara ini, KLFW menyediakan ruang kepada pereka tempatan mengetengahkan kreativiti dan inovasi masing-masing di samping memperkukuh penjenamaan produk Malaysia.
Beliau berkata, kerjasama strategik itu merangkumi 28 segmen, termasuk pengenalan buat julung kalinya segmen Fashion Forward Batik Malaysia yang menampilkan 10 pereka fesyen tempatan dengan 30 rekaan batik kontemporari menggunakan tekstil batik asli dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Katanya, potensi industri itu disokong oleh Laporan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 yang diterbitkan buat pertama kali oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Disember 2025, yang menunjukkan industri budaya dan kreatif menyumbang RM130.7 bilion atau 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
“Pencapaian ini membuktikan kreativiti dan khazanah budaya bukan sahaja mempunyai nilai identiti, malah telah berkembang menjadi antara pemacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, Khamis.
Armizan berkata, berdasarkan pencapaian KLFW 2025 yang merekodkan nilai publisiti (media value) mencecah USD32 juta, kerjasama strategik itu dijangka dapat memperluaskan capaian pasaran batik Malaysia di peringkat domestik dan global.
Beliau berkata, usaha berkenaan selaras dengan objektif penubuhan Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan yang diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Julai lalu.
Katanya, jawatankuasa itu berperanan memperkemas hala tuju serta memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi kerajaan dalam memperkasa promosi, meningkatkan nilai jualan domestik dan eksport produk tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import.
Armizan berkata, penyertaan semua pemegang taruh merentasi pelbagai sektor amat penting bagi memastikan agenda memperkasa penggunaan dan pembelian produk tempatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, semua pihak dialu-alukan mengemukakan syor dan maklum balas melalui kementerian serta agensi kawal selia berkaitan bagi memastikan pendekatan kolaboratif itu terus memacu usaha memperkukuh produk tempatan secara bersepadu.
“Melalui JOM MALAYSIA, KPDN akan terus memperkukuh kerjasama bersama pemain industri, sektor swasta dan rakan strategik bagi memastikan produk Malaysia lebih mampan dan berdaya saing di peringkat domestik serta antarabangsa,” katanya.


































