BEAUFORT: Tiga anggota polis lelaki, termasuk dua berasal dari Kelantan dan seorang dari Sibu, Sarawak, maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, di sini, petang ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.56 petang.
Susulan itu, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.
Operasi menyelamat diketuai Komander Operasi, PBK I Irwan Abdul dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Sabah Electricity Sdn. Bhd.


































