Pemimpin-pemimpin PBS yang diketuai Dr. Joachim Gunsalam (duduk, tengah), melaungkan sorakan semangat selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi di ibu pejabat parti di Donggongon pada Selasa.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai masing-masing dipilih tanpa bertanding sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi penggal 2026-2029.
Setiausaha Agung PBS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Datuk Julita Mojungki berkata, Dr. Joachim yang memangku jawatan presiden sejak tiga tahun lalu merupakan calon tunggal bagi jawatan itu apabila pencalonan ditutup pada 31 Julai.
Beliau berkata, Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, turut menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden di bawah kuota Bumiputera Bukan Islam.
Turut menang tanpa bertanding ialah Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharram bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Bumiputera Islam selepas seorang lagi calon hanya memperoleh satu pencalonan.
Menurut Julita, seseorang calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya tiga pencalonan untuk layak bertanding dalam pemilihan parti.
Bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Cina, katanya, dua calon layak bertanding iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Lo Su Fui dan Ahli Majlis Tertinggi PBS, Goon Thien Shang.
Sementara itu, bagi dua jawatan Naib Presiden kuota Bumiputera Bukan Islam, tiga calon layak bertanding iaitu ADUN Tandek, Datuk Hendrus Anding; ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J. Kurum; dan penyandang, Datuk Johnny Mositun.
Bagi kuota Naib Presiden Bumiputera Islam, enam calon layak bertanding untuk merebut dua jawatan yang ditawarkan iaitu penyandang Haji Mursid Mohd Rais, Sharol Mahoolop, Zamil Ismail, Kasirin Kamiran, Ali Latif Taha dan Dr. Rodah Haji Sawang.
Julita berkata, lima calon pula layak bertanding bagi satu jawatan Naib Presiden kuota Cina iaitu penyandang Datuk Arthur Sen, Datuk Fredian Gan, Goon Thien Shang, Datuk Johnny Goh dan Ng Tze Sai.
Beliau berkata, seramai 28 calon layak bertanding bagi tujuh kerusi Ahli Majlis Tertinggi kuota Bumiputera Bukan Islam.
Katanya, seramai 23 calon pula akan bersaing bagi lima kerusi Ahli Majlis Tertinggi kuota Bumiputera Islam, manakala 15 calon bertanding bagi empat kerusi Ahli Majlis Tertinggi kuota Cina.
Julita berkata, tempoh penerimaan pencalonan berakhir pada 7 Ogos.
Menurutnya, PBS menerima rekod sebanyak 79 pencalonan bagi semua jawatan parti, dengan lebih separuh daripada calon bertanding buat kali pertama.
Sementara itu, Dr. Joachim berkata, jumlah pencalonan yang memberangsangkan, termasuk penyertaan ramai muka baharu, membuktikan semakin ramai berminat untuk berkhidmat kepada parti.
“Ini memberi petanda baik kepada proses peremajaan PBS,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik dan Majlis Tertinggi PBS pada Selasa.
ADUN Kundasang itu berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan beberapa perkara penting parti termasuk persiapan menghadapi Kongres PBS yang dijadual berlangsung pada September.
Katanya, persiapan rapi penting bagi memastikan kongres berjalan lancar serta menjadi platform terbaik untuk memperkukuh perpaduan parti, memperbaharui komitmen terhadap perjuangan parti dan merangka hala tuju masa depan demi kepentingan rakyat serta Sabah.


































