PUTATAN: Seorang lelaki berusia 30 tahun melecur di bahagian muka selepas berlaku kebakaran melibatkan kepala dapur gas (gas regulator) tong gas LPG di sebuah premis makanan di sini, tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.58 tengah hari.
Katanya, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai dan tiba pada jam 1.07 petang.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati benar berlaku kebakaran di bahagian dapur sebuah kedai.
“Kebakaran hanya melibatkan kepala dapur gas (gas regulator) tong gas LPG dan telah berjaya dipadamkan oleh pekerja dapur menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan melecur di bahagian muka telah dihantar ke hospital oleh pekerja kedai menggunakan kenderaan sendiri untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau berkata, tiada operasi pemadaman dijalankan kerana api telah dipadamkan sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Pasukan bomba hanya mengambil maklumat kejadian dan menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi bagi memastikan tiada lagi punca nyalaan atau bahaya lain yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Selepas keadaan disahkan selamat, operasi ditamatkan pada jam 2 petang dan semua anggota serta jentera kembali ke balai,” katanya.
Operasi diketuai PBK II Francisco Norati.


































