Dr. Bonaventure Boniface
KOTA KINABALU: Pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar perlu disokong sebagai langkah memperkukuh kedudukan fiskal negara dan membanteras ketirisan subsidi, namun mekanisme pelaksanaannya mesti mengambil kira realiti sosioekonomi, cabaran geografi serta keadaan infrastruktur Sabah agar tidak menambah beban rakyat.
Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) N14 Tamparuli yang juga Penolong Penerangan PBS Pusat, Dr. Bonaventure Boniface berkata, subsidi bersasar merupakan pendekatan yang tepat bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar layak menerima manfaat, selain membantu membendung penyeludupan dan penyalahgunaan diesel bersubsidi.
Beliau berkata, subsidi yang disasarkan kepada golongan seperti nelayan, pekebun kecil, pengusaha pengangkutan awam dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS) akan memastikan bantuan kerajaan disalurkan dengan lebih berkesan, di samping membolehkan penjimatan perbelanjaan awam digunakan untuk sektor penting seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur.
“Secara prinsipnya, subsidi diesel secara bersasar adalah satu langkah dasar yang tepat. Ia mampu mengurangkan ketirisan, memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan serta mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
“Namun, pelaksanaannya perlu mengambil kira realiti dan keperluan setiap negeri, khususnya Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr. Bonaventure berkata, Sabah tidak boleh disamakan dengan Semenanjung kerana mempunyai struktur ekonomi, geografi dan infrastruktur yang berbeza.
Katanya, Sabah masih berdepan kos sara hidup yang tinggi walaupun pendapatan purata isi rumah antara yang terendah di negara ini, justeru sebarang peningkatan kos diesel berpotensi memberi kesan langsung kepada tambang pengangkutan, harga barang keperluan, kos pengeluaran hasil pertanian dan perikanan serta operasi perusahaan kecil yang bergantung kepada diesel.
Beliau berkata, keluasan negeri, taburan penduduk yang berselerak dan jaringan jalan raya yang masih belum menyeluruh turut menyebabkan kos logistik di Sabah lebih tinggi berbanding kebanyakan negeri lain.
“Di Sabah, diesel bukan sekadar digunakan oleh pemilik kenderaan. Ia menjadi nadi kepada operasi bot nelayan, jentera pertanian, lori pengangkutan serta pelbagai aktiviti ekonomi yang menghubungkan kawasan pedalaman dengan bandar.
“Sebarang perubahan harga diesel akan memberi kesan rantaian kepada keseluruhan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keadaan infrastruktur jalan raya di Sabah perlu diberikan pertimbangan khusus dalam pelaksanaan subsidi diesel bersasar.
Menurutnya, masih banyak kawasan luar bandar dan pedalaman yang bergantung kepada jalan raya yang belum berada pada tahap memuaskan, menyebabkan penggunaan kenderaan pacuan empat roda (4WD) berkuasa diesel menjadi satu keperluan harian.
“Bagi ramai penduduk Sabah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, penggunaan kenderaan pacuan empat roda adalah sebahagian daripada kelangsungan hidup.
“Ia digunakan setiap hari untuk ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, mendapatkan rawatan kesihatan, mengangkut hasil pertanian, membawa bekalan ke kampung serta menjalankan aktiviti ekonomi harian,” katanya.
Dr. Bonaventure berkata, selagi infrastruktur jalan raya di Sabah belum dipertingkatkan secara menyeluruh, rakyat tidak mempunyai banyak pilihan selain bergantung kepada kenderaan diesel, justeru dasar subsidi perlu mengambil kira keperluan tersebut.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan subsidi bersasar bergantung kepada kesiapsiagaan sistem pelaksanaannya.
Katanya, infrastruktur digital yang belum menyeluruh di kawasan pedalaman berisiko menyebabkan sebahagian penerima yang layak tercicir sekiranya mekanisme bantuan hanya bergantung kepada sistem dalam talian, manakala kelewatan birokrasi dan proses permohonan yang rumit perlu dielakkan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kerajaan memperkenalkan mekanisme subsidi yang mudah, telus dan inklusif, termasuk menyediakan pilihan bukan digital bagi kawasan yang mempunyai capaian internet terhad.
Beliau juga berpandangan Sabah dan Sarawak wajar diberikan pertimbangan khas sama ada melalui kadar subsidi yang lebih sesuai atau had kuantiti diesel bersubsidi yang mengambil kira keperluan sebenar sektor pertanian, perikanan, pengangkutan dan masyarakat luar bandar.
Selain itu, katanya, bantuan tunai sementara sebagai langkah peralihan boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan impak kepada golongan yang terkesan sepanjang tempoh pelaksanaan dasar tersebut.
“Kerajaan Negeri serta wakil rakyat tempatan perlu dilibatkan secara langsung dalam merangka mekanisme pelaksanaan dasar ini.
“Sabah memerlukan penyelesaian yang direka berdasarkan realiti tempatan, bukannya pendekatan seragam yang digunakan di seluruh negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Bonaventure berkata, subsidi diesel secara bersasar merupakan dasar yang perlu diteruskan, namun kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan yang mampu mengimbangi keperluan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan kesejahteraan rakyat.
“Matlamat menjimatkan perbelanjaan negara tidak seharusnya dicapai dengan membebankan rakyat yang telah lama berdepan kos sara hidup tinggi serta kekangan infrastruktur.
“Dasar yang baik bukan sahaja tepat dari segi matlamat, tetapi juga adil dari segi pelaksanaannya,” katanya.






























