Haji Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles
KENINGAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dijadual merasmikan Program NeuroHope, anjuran bersama Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor dan Unit Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor pada 18 Julai ini.
Program yang akan berlangsung di Dewan SK Bingkor itu dijangka menjadi antara program kesedaran neurodiversiti, pendidikan khas dan kesihatan mental terbesar pernah dianjurkan di daerah Keningau, selain merupakan yang pertama seumpamanya di Sabah.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles berkata, program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai neurodiversiti serta memperkukuh sokongan komuniti terhadap individu neurodivergen dan keluarga mereka.
Beliau berkata, NeuroHope tercetus daripada idea Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Keningau, Rafie Robert yang kemudiannya mendapat sokongan penuh daripada Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas SK Bingkor, Dr. Velerie Wheelervon Petrus.
“Penganjuran program ini membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai neurodiversiti, pendidikan khas dan kesihatan mental, selain menggalakkan pembentukan persekitaran yang lebih inklusif, prihatin dan menyokong perkembangan individu berkeperluan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, program berkenaan terbuka kepada orang ramai, khususnya ibu bapa, guru, pelajar dan masyarakat setempat yang ingin mendapatkan pendedahan berkaitan isu pendidikan khas serta kesejahteraan mental.
Pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat turut disusun sepanjang program itu, termasuk Jualan Rahmah, pemeriksaan dan saringan kesihatan, pemeriksaan mata, pameran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital Keningau serta agensi berkaitan.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan tiket bertuah, menikmati persembahan kebudayaan dan persembahan khas artis tempatan terkenal, Rosaria Bianus, di samping mengunjungi pelbagai gerai jualan yang disediakan.
Program NeuroHope turut menampilkan sesi perkongsian ilmu oleh pakar dalam bidang berkaitan, termasuk ceramah bertajuk “Embracing Neurodivergence” dan “Kesihatan Mental Ibu Bapa” yang akan disampaikan oleh Pakar Psikiatri Hospital Keningau, Dr Isabella Rosselline.
Unit Terapi Carakerja Hospital Keningau pula akan mengendalikan sesi terapi carakerja, manakala Dr Velerie akan berkongsi pendekatan pembelajaran dan kaedah pengajaran yang berkesan bagi membantu murid berkeperluan khas mencapai potensi optimum mereka.
Yazid berkata, kehadiran Ketua Menteri merupakan satu penghormatan besar kepada pihak penganjur serta seluruh komuniti yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
“Kesudian Datuk Seri Haji Hajiji hadir merasmikan Program NeuroHope memberi pengiktirafan yang amat bermakna terhadap usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pendidikan khas, neurodiversiti dan kesihatan mental.
“Ia juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan berkeperluan khas serta keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran Ketua Menteri diyakini mampu menyuntik semangat kepada ibu bapa, guru, petugas kesihatan, sukarelawan dan masyarakat untuk terus berganding bahu membina komuniti yang lebih inklusif, penyayang dan menghargai kepelbagaian keupayaan setiap individu.
Katanya, pihak penganjur berharap NeuroHope dapat dijadikan platform berterusan bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dalam memperjuangkan kesejahteraan serta potensi individu neurodivergen di Sabah.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program berkenaan dijemput hadir ke Dewan SK Bingkor pada 18 Julai ini.






























