KOTA KINABALU: Persatuan Taekwondo Bersatu Negeri Sabah (UTSA) memasuki era baharu apabila Dr. Bonaventure Boniface dipilih sebagai Presiden baharu persatuan itu pada Mesyuarat Agung Tahunan dan pemilihan kepimpinan yang berlangsung di sini, hari ini.
Selepas menerima mandat daripada para perwakilan, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli dan perwakilan UTSA atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui persatuan berkenaan.
Dr. Bonaventure turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan terdahulu atas jasa, pengorbanan dan sumbangan mereka dalam membangunkan sukan taekwondo di Sabah.
“Segala usaha yang telah dicurahkan oleh kepimpinan terdahulu menjadi asas yang kukuh untuk kami meneruskan perjuangan memajukan Taekwondo Sabah ke tahap yang lebih tinggi. Sumbangan mereka akan sentiasa dikenang dan dihargai,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan khas kepada Grand Master Dhanaraj Rassiah, Ketua Teknikal Taekwondo Malaysia, yang hadir menyaksikan Mesyuarat Agung dan proses pemilihan kepimpinan baharu itu.
Menurutnya, kehadiran Grand Master Dhanaraj merupakan satu penghormatan besar kepada komuniti taekwondo Sabah serta mencerminkan hubungan erat antara Taekwondo Malaysia dan persatuan di negeri ini.
Bagi memastikan pembangunan taekwondo Sabah lebih tersusun dan berdaya saing, Dr. Bonaventure memperkenalkan lima misi utama yang akan menjadi hala tuju pentadbiran baharu UTSA.
Lima misi tersebut ialah mendigitalkan tadbir urus persatuan, menyediakan infrastruktur dan kemudahan latihan bertaraf tinggi, membudayakan kepimpinan berintegriti serta tadbir urus profesional, melahirkan pelapis atlet yang berkualiti, berdisiplin dan berdaya saing, selain mengukuhkan pentadbiran serta komunikasi antara persatuan dan kelab-kelab berdaftar.
Beliau berkata, kejayaan persatuan hanya dapat dicapai melalui kerjasama semua pihak termasuk jurulatih, atlet, pegawai dan kelab-kelab yang bernaung di bawah UTSA.
“Saya percaya kejayaan hanya dapat dicapai melalui semangat kebersamaan. Marilah kita berganding bahu, mengetepikan perbezaan dan bergerak sebagai satu keluarga demi memartabatkan Taekwondo Sabah ke peringkat yang lebih cemerlang,” katanya.
Pada mesyuarat itu, Grand Master Raman Anthony dipilih sebagai Timbalan Presiden, manakala jawatan Naib Presiden disandang oleh Arfahzanshah Hj. Marlan, Mohd. Iskandar Syah Shamsuddin dan Mujayal Ebno.
Turut dilantik ialah Siti Norma sebagai Setiausaha Agung, Wong Yew Sing sebagai Bendahari Agung dan Grand Master Barry Voon Yuk Choi sebagai Pengerusi Lembaga Jawatankuasa Teknikal.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif terdiri daripada Ervin Ambu, Nandabalan A/L Husin, Sajdi Jupin, Rusfredy Tokan Petrus dan Chao Yew Ming.
Dengan slogan “Satu Visi, Satu Pasukan, Satu Juara”, kepimpinan baharu UTSA bertekad memperkukuh pembangunan taekwondo Sabah melalui pentadbiran yang lebih moden, telus dan berfokus kepada pembangunan atlet serta kecemerlangan sukan di semua peringkat.






























