KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah membuka Kaunter Khas Urusan Tukar Hak Milik (THM) Kenderaan Diesel bagi memudahkan orang ramai melaksanakan pertukaran hak milik kenderaan untuk tujuan permohonan BUDI Diesel.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd. Harris Ali berkata, kaunter khas itu beroperasi setiap Sabtu dan Ahad bermula 4 Julai hingga 26 Julai 2026 dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
Beliau berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan selaras dengan pengumuman Kerajaan bagi memastikan pemilik dan pengguna sebenar kenderaan diesel yang layak dapat melengkapkan urusan pertukaran hak milik dengan lebih mudah, sekali gus melancarkan proses permohonan BUDI Diesel.
“JPJ Negeri Sabah komited menyediakan penyampaian perkhidmatan yang cekap, efisien dan mesra pelanggan serta menyokong segala inisiatif Kerajaan demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bagi memberikan kemudahan yang lebih menyeluruh kepada orang ramai, Kaunter Khas Urusan THM Kenderaan Diesel dibuka di Bahagian Pelesenan Kenderaan, Ibu Pejabat JPJ Sabah, semua 16 Pejabat JPJ cawangan di seluruh negeri serta tiga Pejabat JPJ UTC di Sabah.
Katanya, Kaunter Khas JPJ UTC Keningau akan mula beroperasi pada 12 Julai ini.
Mohd. Harris berkata, sepanjang tempoh 1 hingga 10 Julai lalu, JPJ Sabah berjaya memproses sebanyak 885 urusan THM kenderaan diesel.
Daripada jumlah itu, sebanyak 733 urusan melibatkan kenderaan jenis pikap manakala 152 lagi membabitkan kenderaan jenis jip.
“Pencapaian ini membuktikan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai terhadap inisiatif Kerajaan dan komitmen JPJ Negeri Sabah dalam memudah cara urusan pertukaran hak milik kenderaan diesel,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak syarat kelayakan serta maklumat berkaitan permohonan BUDI Diesel melalui portal rasmi BUDI MADANI dan menyediakan dokumen yang lengkap sebelum hadir ke kaunter bagi memastikan urusan dapat diproses dengan cepat dan lancar.
Katanya, JPJ Sabah akan terus mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan bagi memudahkan urusan rakyat, khususnya dalam pelaksanaan inisiatif berkaitan BUDI Diesel.






























