Hajiji melakukan gimik pelancaran semasa Program Jerayawara Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) bagi daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman.
TUARAN: Kerajaan Negeri meneruskan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM339.16 juta sebagai salah satu instrumen utama dalam agenda pembasmian kemiskinan di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, skim bantuan SYUKUR telah distruktur semula pada tahun ini dengan pemberian RM200 sebulan sebagai bantuan pelengkap kepada inisiatif Kerajaan Persekutuan iaitu Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain program bantuan kewangan lain yang disediakan.
“Penstrukturan semula program SYUKUR membolehkan jumlah penerima ditingkatkan daripada 100,000 orang tahun lalu kepada 140,000 orang pada tahun ini, sekali gus memastikan lebih ramai rakyat Sabah mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan ini,” katanya ketika melancarkan Program Jerayawara Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) bagi daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman di sini hari ini.
Hajiji berkata, pembayaran SYUKUR dibuat secara berfasa, dengan setiap fasa disalurkan secara sekali bayar (lump sum) bagi tempoh tiga bulan berjumlah RM600. Bayaran dikreditkan terus ke dalam akaun bank penerima, manakala pembayaran tunai turut diberikan kepada penerima yang layak.
Beliau berkata, pembayaran di bawah program itu bermula pada 11 Mac 2026 bagi penerima Fasa 1, manakala pembayaran dalam talian bagi Fasa 2 mula dikreditkan ke akaun penerima pada 23 Mei 2026.
“Sukacita saya mengumumkan bahawa pengagihan tunai pertama bagi SYUKUR Fasa 2 akan bermula pada 18 Jun 2026 (Khamis) hingga 23 Jun 2026 (Selasa) kepada penerima yang layak di seluruh Sabah, melibatkan seramai 17,848 penerima.
“Pembayaran ini melibatkan bantuan sekali bayar sebanyak RM600 bagi tempoh April hingga Jun 2026.
“Saya berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk memenuhi keperluan asas keluarga, menyokong pendidikan anak-anak serta membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin mencabar,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, program jerayawara seperti ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada kerajaan untuk berinteraksi secara langsung dengan rakyat, memahami cabaran yang mereka hadapi serta memastikan segala bentuk bantuan dan inisiatif kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.




























