KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah mencatat kejayaan penting apabila memperoleh sabitan pertama di mahkamah hasil tindakan penguatkuasaan menerusi OPS TIRIS 4.0 Bersepadu di negeri ini.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, kejayaan itu membuktikan ketegasan pihaknya dalam membanteras ketirisan serta penyelewengan diesel bersubsidi, selain memastikan setiap kes yang mempunyai bukti dan keterangan mencukupi dibawa sehingga ke peringkat pendakwaan dan sabitan di mahkamah.
“Keputusan mahkamah ini membuktikan komitmen KPDN Sabah dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan diesel bersubsidi serta memastikan setiap kes yang mempunyai bukti dan keterangan mencukupi dibawa sehingga ke peringkat pendakwaan dan sabitan di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, tiga individu mengaku bersalah terhadap pertuduhan berasingan kerana berurusan dengan barang kawalan berjadual iaitu diesel tanpa lesen yang sah.
Bagi kes pertama, Dickson Yii Hung Tie, 30, dijatuhi hukuman denda RM30,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen 3 Kota Kinabalu di hadapan Hakim Zaini Fishir @ Fisal.
Tertuduh bagaimanapun telah menjelaskan denda yang dikenakan.
Dalam kes kedua di Mahkamah Sesyen 4 Kota Kinabalu, Hakim Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman denda RM8,000 setiap seorang atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda terhadap Dickson dan seorang lagi tertuduh, Abd. Rahman Muluk, 35.
Kedua-dua tertuduh turut membayar denda yang diperintahkan mahkamah.
Sementara itu, dalam kes ketiga, Aznan Abd. Rahim, 41, dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara empat minggu sekiranya gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang sama.
Aznan turut menjelaskan denda yang dikenakan.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan diesel yang terlibat dijadikan hasil Kerajaan Malaysia, manakala kenderaan yang digunakan dalam pelakuan kesalahan diserahkan kepada KPDN untuk tindakan pelucuthakan.
Bagi kesalahan itu, Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan bagi ketiga-tiga kes dikendalikan oleh PPP TK Gunasegaran Krishnan dan PMP TK Malai Rosidi Malai Muhamad, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Secara keseluruhan, jumlah denda yang dikenakan oleh mahkamah terhadap ketiga-tiga kes berkenaan ialah RM49,000.
Shahril berkata, KPDN turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan penyelewengan barang kawalan melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.






























