James Ratib
KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) menyambut baik serta menyokong sepenuhnya kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pembangunan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia perlu berpaksikan nilai kemanusiaan, etika dan tanggungjawab moral dalam mendepani arus kemajuan teknologi yang pesat.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kenyataan tegas Perdana Menteri itu amat penting dan tepat pada masanya bagi memastikan pembangunan teknologi, khususnya AI, tidak hanya tertumpu kepada kemajuan inovasi dan kecekapan teknikal semata-mata, sebaliknya turut mengutamakan keseimbangan nilai kemanusiaan, etika serta tanggungjawab sosial dalam setiap pelaksanaannya.
Menurut beliau, AI merupakan teknologi rentas disiplin yang memberi impak besar kepada pelbagai sektor termasuk pendidikan, perkhidmatan awam, ekonomi, kesihatan dan pertanian.
“Oleh itu, pembangunan serta penggunaannya perlu dilaksanakan secara berhemah, bertanggungjawab dan inklusif agar manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa pengecualian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seiring aspirasi Malaysia MADANI, KPSTI Sabah berpandangan bahawa kemajuan AI perlu sentiasa diimbangi dengan pertimbangan manusia, khususnya dalam aspek tadbir urus, keselamatan data, etika penggunaan serta penetapan batasan teknologi supaya tidak menjejaskan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan masyarakat.
James berkata, usaha memperkukuh pembangunan bakat digital dan literasi AI di Sabah akan terus diperkasa melibatkan pelajar, pendidik serta penjawat awam.
Katanya, penekanan akan diberikan kepada aspek etika teknologi, tanggungjawab sosial serta penggunaan AI yang selamat, berintegriti dan berfokuskan kesejahteraan rakyat.
Dalam usaha memperluaskan penguasaan teknologi itu, KPSTI turut melaksanakan beberapa latihan berteraskan AI kepada pensyarah dan warga pendidik melalui kerjasama dengan syarikat tempatan.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan bertujuan memperkasakan penggunaan AI dalam proses pembelajaran serta aliran kerja harian di institusi pendidikan.
James yakin masa depan negara akan ditentukan oleh keupayaan menggabungkan kemajuan teknologi dengan kefahaman mendalam terhadap nilai kemanusiaan, selaras dengan matlamat Malaysia untuk menjadi negara berteknologi tinggi dan berdaya saing menjelang 2030.
Beliau berkata, keseimbangan antara inovasi dan nilai kemanusiaan merupakan asas penting dalam memastikan teknologi terus memberi manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan negara secara mampan.
Sehubungan itu, KPSTI akan terus menyokong sepenuhnya dasar serta inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh ekosistem AI negara yang inklusif, mampan dan berteraskan kesejahteraan rakyat.
































