Jafry Ariffin
SEMPORNA: Pertumbuhan pesat industri pelancongan di Sabah, khususnya di Semporna, perlu diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang lebih meluas dan dirasai secara langsung oleh rakyat tempatan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, Kerajaan Negeri mengambil maklum pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keperluan memastikan manfaat pertumbuhan industri pelancongan dapat dinikmati secara lebih adil oleh komuniti setempat.
Beliau berkata, Semporna, yang merupakan antara destinasi pelancongan paling terkenal di Malaysia dan rantau ini, terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan hasil peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa dan domestik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, daerah itu merekodkan seramai 560,077 ketibaan pelancong sepanjang tahun 2025, manakala bagi tempoh Januari hingga April tahun ini sahaja, sebanyak 157,673 pelancong telah direkodkan mengunjungi Semporna.
“Statistik ini membuktikan bahawa Semporna terus menjadi antara pemacu utama industri pelancongan Sabah dan destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jafry berkata, pertumbuhan tersebut disokong oleh pelbagai pihak termasuk pelabur, pengusaha pelancongan, komuniti setempat dan agensi kerajaan.
Beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) mengalu-alukan pelaburan yang sah, bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang kerana ia memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan daya saing industri pelancongan Sabah.
Katanya, pelaburan berkenaan turut membantu meningkatkan kualiti produk pelancongan selain membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat.
Namun, beliau menegaskan pembangunan industri pelancongan perlu berlaku secara seimbang dan inklusif serta tidak hanya diukur melalui jumlah ketibaan pelancong atau nilai pelaburan semata-mata.
“Pertumbuhan sektor ini perlu dinilai berdasarkan sejauh mana manfaat ekonomi yang dijana dapat dirasai secara langsung oleh rakyat Sabah, khususnya komuniti tempatan yang menjadi tulang belakang kepada industri pelancongan negeri ini,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, KePKAS memandang serius perkara yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri mengenai penglibatan dan pemilikan dalam sektor berkaitan pelancongan termasuk pengangkutan pelancong, penginapan, agensi pelancongan, restoran dan perkhidmatan sokongan lain.
Beliau berkata, kementerian percaya rakyat tempatan perlu diberikan peluang lebih besar untuk mengambil bahagian dalam keseluruhan rantaian nilai industri pelancongan sama ada sebagai usahawan, pemilik perniagaan, penyedia perkhidmatan, pekerja mahir mahupun rakan strategik dalam pembangunan destinasi pelancongan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa konsisten dalam memastikan rakyat tempatan menjadi penerima manfaat utama daripada setiap aktiviti ekonomi yang berlaku di Sabah.
“Prinsip ini turut terpakai dalam sektor pelancongan, di mana penglibatan, pemilikan dan penyertaan aktif rakyat Sabah dalam perniagaan serta perkhidmatan berkaitan pelancongan perlu terus diperkasakan,” katanya.
Jafry berkata, pertumbuhan industri pelancongan akan lebih bermakna apabila ia bukan sahaja menarik pelaburan dan meningkatkan jumlah ketibaan pelancong, tetapi turut mewujudkan peluang ekonomi yang lebih besar kepada komuniti tempatan.
Beliau berkata, di Semporna khususnya, usaha pemantauan dan penguatkuasaan sedang diperkukuhkan bagi memastikan semua aktiviti pelancongan beroperasi secara telus, mematuhi undang-undang serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan secara mampan.
Katanya, kementerian akan terus bekerjasama dengan semua agensi berkaitan untuk mengenal pasti sebarang kelemahan dalam pelaksanaan dasar sedia ada dan mengambil langkah penambahbaikan yang sewajarnya.
“Sabah kekal terbuka kepada pelaburan berkualiti yang mematuhi undang-undang dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri. Namun pada masa yang sama, kita mahu memastikan manfaat daripada pertumbuhan sektor pelancongan dapat dinikmati secara adil, inklusif dan mampan oleh rakyat Sabah sendiri,” katanya.
Beliau menambah KePKAS akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi berkaitan serta pemain industri bagi memastikan sektor pelancongan Sabah terus berkembang sebagai pemacu ekonomi negeri sambil menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat tempatan.






























