KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengesahkan keadaan di kawasan pantai timur negeri ini kekal selamat dan terkawal susulan gempa bumi bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina pada jam 7.37 pagi, hari ini.
Dalam laporan pemantauan yang dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna telah menjalankan pemantauan di kawasan pesisir pantai, penempatan penduduk serta lokasi berisiko di kawasan jagaan masing-masing.
Pemantauan itu dilaksanakan susulan nasihat tsunami yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bahawa ombak tsunami dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Menurut laporan itu, hasil pemantauan setakat waktu laporan dikeluarkan mendapati tiada sebarang kerosakan struktur, kejadian luar biasa, peningkatan paras air laut yang membahayakan mahupun insiden kecemasan dilaporkan di kawasan terlibat.
“Keadaan semasa adalah terkawal dan selamat,” menurut laporan berkenaan.
JBPM Sabah memaklumkan pasukan bomba akan terus melaksanakan pemantauan secara berterusan serta berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Menurut laporan itu lagi, maklumat terkini mengenai situasi berkenaan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Laporan pemantauan itu dikeluarkan oleh Pegawai Bertugas, Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Sabah hari ini.






























