Hajiji mengiringi Tun Musa melakukan upacara menyimpan padi atau popoo’pi pa’ai doid tangkob sebagai simbolik penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2026.
PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyeru rakyat Sabah untuk terus memperkukuh perpaduan dan kebersamaan, yang disifatkannya sebagai tonggak utama kepada kemajuan bersama serta kelestarian pembangunan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri kekal komited untuk memperhebat usaha bagi memastikan pembangunan Sabah terus dipacu dengan pesat demi kesejahteraan rakyat.
“Pelbagai inisiatif sedang dan akan terus dilaksanakan, termasuk memperkukuh ekonomi negeri melalui agenda yang digariskan dalam Hala Tuju Sabah SMJ 2.0. Usaha ini merangkumi pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan, peningkatan produktiviti sektor pertanian, pemerkasaan modal insan, peningkatan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar dan bandar, serta memajukan sektor pelancongan berasaskan budaya.
“Dalam merealisasikan matlamat ini, kerajaan sememangnya memerlukan sokongan dan perpaduan semua lapisan masyarakat untuk terus berganding bahu membangunkan Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2026 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini hari ini.

Hajiji mengiringi Tun Musa melawat ruang pameran Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah.
Ketua Menteri turut menyeru rakyat agar terus bersatu dan bekerjasama dalam menghadapi apa jua cabaran yang mendatang, selaras dengan tema sambutan tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Merayakan Keharmonian”.
“Tema ini amat signifikan dalam konteks persekitaran dan cabaran semasa yang kita hadapi. Ketidaktentuan ekonomi, tekanan peningkatan kos sara hidup serta pelbagai cabaran lain memerlukan kita untuk terus bersatu dan bekerjasama dalam mengatasi setiap halangan,” katanya.
Menyentuh mengenai festival itu, Hajiji berkata, Pesta Kaamatan bukan sekadar sambutan kebudayaan, tetapi juga platform penting untuk memelihara warisan etnik daripada pupus, memupuk toleransi serta memperkukuh kestabilan politik dan pembangunan negeri.
“Pesta Kaamatan juga mengingatkan kita bahawa setiap hasil tuaian yang berjaya memerlukan kerja keras, dedikasi dan kerjasama yang berkesan. Masa depan Sabah yang makmur tidak akan dibina melalui retorik semata-mata, tetapi menerusi usaha gigih, perpaduan, keharmonian dan keikhlasan semua lapisan masyarakat.
“Semoga Sabah terus melangkah maju sebagai negeri yang aman, makmur, progresif dan dihormati, berteraskan nilai budaya yang unik serta diperkukuhkan dengan sokongan padu rakyatnya,” katanya.

Hajiji turut melahirkan rasa bangga terhadap kehadiran masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan etnik, selain presiden persatuan serta organisasi etnik dari seluruh Sabah.
“Kehadiran kita semua pada hari ini membuktikan kukuhnya perpaduan masyarakat Sabah. Kita juga merakamkan penghargaan kepada para pelancong yang turut hadir memeriahkan sambutan ini. Festival ini merupakan manifestasi kesyukuran atas hasil tuaian padi yang melimpah ruah serta simbol perpaduan kaum yang utuh,” katanya.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr.) Musa Aman menyempurnakan majlis penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2026.
Turut hadir ialah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag; Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2026, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam; Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong.




























