Dr. Awang Faisal Assyiffa
KOTA KINABALU: Peningkatan Geran Khas Tahunan Sabah daripada RM53.4 juta pada tahun 2020 kepada RM1.5 bilion pada tahun 2026 membuktikan keberkesanan pendekatan rundingan yang diterapkan Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan hak kewangan negeri itu.
Ahli Ekonomi, Dr. Awang Faisal Assyiffa berkata, peningkatan hampir 28 kali ganda dalam tempoh enam tahun itu merupakan antara pencapaian fiskal paling signifikan dalam sejarah moden Sabah.
Menurut beliau, kejayaan tersebut tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan, strategi rundingan yang tersusun dan pendekatan diplomatik yang pragmatik yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bersama kepimpinan Kerajaan Negeri.
“Dalam menilai prestasi sesebuah kerajaan, rakyat perlu memberi tumpuan kepada hasil yang boleh diukur, bukannya sekadar retorik politik atau polemik semasa.
“Dalam konteks perjuangan hak kewangan Sabah, peningkatan Geran Khas Tahunan daripada RM53.4 juta pada tahun 2020 kepada RM1.5 bilion pada tahun 2026 merupakan satu pencapaian yang amat signifikan. Ini bermakna jumlah yang diterima Sabah telah meningkat hampir 28 kali ganda dalam tempoh hanya enam tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman peningkatan bayaran interim Geran Khas Sabah kepada RM1.5 bilion yang diumumkan Kerajaan Persekutuan.
Dr. Awang Faisal berkata, pencapaian itu juga memberi gambaran lebih jelas terhadap penghargaan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada kepimpinan Hajiji baru-baru ini.
Katanya, kenyataan Perdana Menteri yang menyifatkan Hajiji sebagai pemimpin yang tidak banyak bercakap tetapi menghasilkan tindakan yang berkesan menggambarkan pendekatan kepimpinan yang lebih mengutamakan hasil berbanding publisiti.
“Daripada pemerhatian saya, Hajiji bukan seorang pemimpin yang gemar mencetuskan polemik atau memainkan politik persepsi. Sebaliknya, beliau memilih pendekatan rundingan dan kerjasama yang akhirnya membuahkan hasil yang boleh dilihat secara nyata melalui peningkatan Geran Khas yang diterima Sabah hari ini,” katanya.
Menurut beliau, dari sudut ekonomi, peningkatan hasil yang diperoleh melalui rundingan itu telah memperkukuh kedudukan kewangan negeri dan membuka ruang fiskal yang lebih besar untuk membiayai pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan, utiliti asas serta pelbagai program yang memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Apa yang lebih penting ialah kejayaan ini membuktikan bahawa hubungan kerja yang konstruktif antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mampu menghasilkan manfaat yang lebih besar kepada Sabah berbanding pendekatan yang hanya bersandarkan konfrontasi politik,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa perjuangan Sabah masih belum selesai memandangkan bayaran RM1.5 bilion bagi tahun 2026 masih bersifat interim sementara rundingan mengenai pelaksanaan hak Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan formula 40 peratus hasil bersih Persekutuan diteruskan.
“Namun begitu, rakyat perlu berlaku adil dalam menilai kemajuan yang telah dicapai. Peningkatan daripada RM53.4 juta kepada RM1.5 bilion dalam tempoh enam tahun bukanlah satu pencapaian kecil.
“Ia merupakan lonjakan luar biasa dalam sejarah tuntutan kewangan Sabah dan membuktikan bahawa negeri ini sedang bergerak ke arah kedudukan fiskal yang lebih kukuh,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa dalam dunia ekonomi, prestasi diukur melalui angka dan bukannya slogan.
“Angka yang ada hari ini menunjukkan satu hakikat yang sukar disangkal, iaitu Geran Khas Sabah telah meningkat hampir 28 kali ganda dalam tempoh enam tahun.
“Itulah ukuran sebenar sebuah kepimpinan yang menghasilkan keputusan; kepimpinan yang tidak semestinya lantang, tetapi mampu membawa hasil yang nyata kepada negeri dan rakyat,” katanya.




























