KOTA KINABALU: Program MILO Malaysia Breakfast Day 2026 melabuhkan tirainya dengan penuh meriah di Padang Merdeka di sini, apabila kira-kira 9,000 peminat hadir dalam suasana bertenaga dan penuh semangat komuniti.
Program anjuran MILO Malaysia itu diteruskan bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui pengambilan sarapan berkhasiat serta aktiviti fizikal, khususnya dalam kalangan keluarga dan generasi muda.
Peserta daripada pelbagai lapisan umur mula berkumpul seawal sebelum matahari terbit untuk menyertai larian santai sejauh tiga kilometer yang bermula pada jam 6.30 pagi.
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Industri Kreatif, Dato’ Sri Dr. Anil Sandhu berkata, pihaknya menghargai komitmen berterusan MILO dalam menyokong pembangunan sukan komuniti di Sabah menerusi pelbagai inisiatif seperti Karnival Sukan Sekolah Pedalaman, MILO Hidup Bola serta Rayzam Shah Athletic Club.
“Kami berbesar hati apabila MILO terus menjadi rakan strategik dalam pembangunan sukan di Sabah. Kehadiran ramai keluarga pagi ini jelas menggambarkan semangat kebersamaan yang cukup baik. MILO sentiasa dekat dengan masyarakat kerana bukan sahaja memberikan tenaga, malah menjadi sebahagian daripada kehidupan sejak sekian lama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Sr. Lifred Wong berkata, MILO mempunyai tempat istimewa dalam kalangan masyarakat Sabah dan menjadi sebahagian daripada kenangan membesar ramai generasi.
“MILO bukan sekadar minuman sarapan pagi tetapi sebahagian daripada memori zaman persekolahan dan kehidupan masyarakat. Program seperti ini mampu menggalakkan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur untuk memulakan hari dengan cara yang sihat dan aktif,” katanya.
Dalam pada itu, peserta yang hadir turut berkongsi pengalaman serta memori peribadi mereka bersama jenama ikonik tersebut.
Afiqah Daid, 24, berkata, seramai 30 ahli keluarganya datang dari Papar sejauh kira-kira 40 kilometer untuk menyertai program berkenaan.
“Bagi kami, ia bukan sekadar soal jarak tetapi tentang keluarga, memori dan kegembiraan bersama. MILO sentiasa menjadi sebahagian daripada kehidupan saya sejak kecil dan membawa banyak kenangan indah,” katanya.
Seorang lagi peserta, Annie Chung Sheu Keng, 57, yang menyertai larian bersama suami serta rakannya Yong Yun Fah, 61, berkata, usia bukan penghalang untuk terus aktif.
“Kami menyertai program larian MILO sejak 2007 kerana pengalaman serta kenangan manis yang dibawa bersama. Kami berharap ia dapat menjadi inspirasi kepada orang lain khususnya golongan warga emas untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.
Selain larian, peserta turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk permainan mini, cabaran kecergasan dan aktiviti interaktif sepanjang program.
Kemunculan trak ikonik MILO turut mencuri perhatian apabila mengembalikan nostalgia zaman persekolahan peserta yang pernah menunggu ketibaannya di sekolah suatu ketika dahulu.
Program MILO Malaysia Breakfast Day 2026 akan diteruskan ke Kuala Terengganu, Kuching, Kuantan dan Kota Bharu sebelum menutup tirainya pada acara kemuncak di Putrajaya pada 12 Julai 2026.


























