Julita bersama para peserta Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri.
KOTA KINABALU: Keluarga masa kini berdepan cabaran semakin kompleks akibat tekanan kos sara hidup, tuntutan kerjaya, perubahan gaya hidup serta pengaruh dunia digital, kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR), Datuk Julita Majungki.
Beliau berkata, Indeks Kesejahteraan Malaysia 2024 meningkat kepada 120.6 mata berbanding 119.4 mata pada tahun sebelumnya, namun cabaran kesejahteraan keluarga masih memerlukan perhatian serius.
“Walaupun indikator menunjukkan peningkatan, ramai keluarga masih berdepan tekanan kos sara hidup, cabaran kesihatan mental dan kesukaran mengimbangi tuntutan kerja serta kehidupan harian,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri di Sabah Oriental Hotel di sini hari ini.
Julita berkata, purata saiz isi rumah di Sabah kekal sekitar 4.6 orang, mencerminkan kekuatan institusi keluarga, namun tekanan kehidupan moden terus memberi cabaran kepada keluarga masa kini.
“Saiz isi rumah yang stabil tidak semestinya bermaksud tekanan dalam keluarga turut berkurang kerana cabaran hari ini semakin kompleks melibatkan kos sara hidup, tuntutan kerjaya dan perubahan gaya hidup,” katanya.
Menurutnya, purata umur ibu yang melahirkan anak pertama di Sabah meningkat kepada 27.5 tahun pada 2023, menunjukkan perubahan struktur keluarga moden.
“Ini mencerminkan perubahan gaya hidup dan keutamaan wanita hari ini yang lebih memberi fokus kepada kestabilan kerjaya, persediaan ekonomi dan perancangan keluarga,” katanya.
Julita berkata, tema Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan, “Seteguh Kasih Ibu”, bertepatan dengan peranan ibu sebagai benteng keluarga dan pembentuk generasi dalam mendepani cabaran dunia moden yang semakin kompleks.
“Ibu hari ini bukan sahaja mendidik anak-anak, tetapi turut menjadi tunjang kestabilan emosi, nilai dan hala tuju keluarga,” katanya.
Beliau berkata, cabaran mendidik anak-anak kini semakin besar akibat pengaruh digital dan media sosial yang mewujudkan pelbagai tekanan baharu terhadap institusi keluarga.
Justeru, katanya, ibu perlu terus memperkukuhkan ilmu dan pendekatan keibubapaan agar nilai positif dalam keluarga dapat terus dipertahankan.
Selain itu, Julita berkata, wanita masa kini turut berdepan cabaran besar dalam mengimbangi kerjaya dan keluarga, selaras dapatan kajian “Life Satisfaction among Women in Sabah, Malaysia: A Quantitative Study” tahun 2025.
“Keadaan ini menunjukkan perlunya sokongan yang lebih menyeluruh kepada wanita, termasuk persekitaran kerja mesra keluarga, akses kesihatan berkualiti dan perlindungan sosial yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan terhadap kesihatan mental wanita dan ibu perlu terus diperkukuhkan terutama dalam menghadapi cabaran selepas bersalin, tekanan emosi dan tuntutan kehidupan moden yang semakin kompleks.
Pada majlis itu, Faineh Modirim diumumkan sebagai penerima Anugerah Inspirasi Ibu 2026 sebagai penghargaan terhadap ketabahan dan pengorbanannya sebagai ibu tunggal dalam membesarkan anak-anak sehingga berjaya.
Beliau yang turut aktif dalam bidang pendidikan dan keusahawanan menerima wang tunai RM1,000, sijil penghargaan serta selempang penghormatan yang disarungkan oleh Julita.
Turut hadir Setiausaha Tetap KWKKR, Datuk Maria Chong; Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sabah mewakili Ketua Pengarah LPPKN, Halil Omar; Timbalan Setiausaha Tetap KWKKR, Alijah Ismail; Pengerusi Majlis Wanita Kadazandusun Cultural Association (KDCA), Datuk Joanna Kitingan; Pengarah LPPKN Sabah, Shahriah Saharom; serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Haslina Ismail.






























