Hajiji (tengah) menerima peruntukan Dana Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) berjumlah RM7.95 juta (fasa kedua) bagi pihak Kerajaan Negeri daripada Arthur.
SOOK: Sabah terus mengekalkan status sebagai penyerap karbon bersih atau negeri karbon negatif berdasarkan data inventori gas rumah hijau dan laporan terkini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, status ini disokong oleh keluasan hutan yang signifikan di negeri ini, yang menyumbang besar kepada kapasiti penyerapan karbon negara.
Menurutnya, peranan hutan dalam mengurangkan kesan pemanasan global akibat perubahan iklim semakin kritikal kerana hutan berfungsi sebagai “penyerap karbon”, iaitu kawasan yang menyerap lebih banyak karbon dioksida yang dilepaskan ke atmosfera sekali gus membantu menstabilkan sistem iklim global.
Katanya, secara tidak langsung hutan yang dikenal pasti sebagai penyumbang kepada aktiviti berkaitan karbon, khususnya hutan paya gambut dan bakau, juga boleh diperluaskan dalam sektor ekonomi semula jadi selaras dengan pembangunan Ekonomi Biru dan Ekonomi Hijau di peringkat negeri.
Beliau menambah pendekatan pengurusan hutan secara inklusif yang melibatkan komuniti tempatan mampu mencapai keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.
Katanya, ini dapat dilihat menerusi inisiatif Jabatan Perhutanan Sabah melaksanakan projek bersama komuniti tempatan di bawah Dana Projek Pemulihan Hutan.
Program berasaskan komuniti itu merangkumi penanaman semula hutan terosot melalui pendekatan pemulihan landskap hutan, pemulihan kawasan tadahan air serta pembangunan sumber pendapatan alternatif berasaskan hasil hutan bukan kayu seperti madu kelulut dan rotan.
Usaha Kerajaan Negeri turut disokong melalui peruntukan berterusan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Dana Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT), katanya.
“Saya dimaklumkan bahawa di bawah Rolling Plan-One (RP-1), Jabatan Perhutanan Sabah telah diperuntukkan RM70.8 juta bagi pelaksanaan projek perhutanan di Sabah sepanjang tempoh RMK-13.
“Melalui EFT juga, Sabah merupakan antara penerima terbesar dengan jumlah RM126.36 juta sejak 2019. Dana ini digunakan untuk melaksanakan projek pemuliharaan biodiversiti dan mencerminkan pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap usaha pemuliharaan di negeri ini,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Dataran Sook hari ini.
Hajiji berkata, tema Hari Hutan Antarabangsa iaitu “Hutan dan Ekonomi” amat bertepatan dalam menonjolkan peranan hutan bukan sahaja sebagai khazanah semula jadi, tetapi juga pemacu pertumbuhan ekonomi mampan.
Sementara itu, beliau menyambut baik pemilihan daerah Sook sebagai tuan rumah sambutan di luar ibu negeri, yang membuka peluang kepada masyarakat pedalaman untuk bersama-sama meraikan Hari Hutan Antarabangsa di peringkat kebangsaan.
“Ini tentunya hasil inisiatif dan sokongan padu daripada Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia.
“Ia juga amat bertepatan kerana Sook baru sahaja dinaik taraf dan diwartakan sebagai daerah penuh pada April tahun lalu, dan hari ini diberi penghormatan menjadi tuan rumah sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan. Tahniah kepada daerah dan rakyat Sook,” katanya.




























