Ewon mewakili Ketua Menteri memotong reben pada majlis perasmian Terminal Feri Jesselton Point yang telah dinaik taraf.
KOTA KINABALU: Terminal Feri Jesselton Point yang dinaik taraf dijangka memperkukuh industri pelancongan Sabah, khususnya dalam segmen pelancongan pulau dan marin yang kekal sebagai antara tarikan utama negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, terminal berkenaan terus memainkan peranan strategik sebagai pemangkin pertumbuhan sektor pelancongan, susulan peningkatan ketara jumlah penumpang.
Pada 2025, terminal itu merekodkan 552,369 penumpang berbanding 388,395 pada tahun sebelumnya, mencerminkan peningkatan permintaan perjalanan ke destinasi pulau.
“Dalam konteks ini, Terminal Feri Jesselton Point telah menyumbang secara signifikan dalam memperkukuh penawaran pelancongan, khususnya di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya,” katanya pada majlis perasmian terminal baharu itu malam ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.
Hajiji berkata, kemudahan yang dinaik taraf itu kini mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa serta dilengkapi sistem digital bagi memastikan operasi yang lebih cekap dan teratur.
“Pelaksanaan sistem tiket elektronik, pengurusan penumpang bersepadu serta penggunaan teknologi pintar mencerminkan peralihan ke arah konsep terminal yang lebih moden dan responsif,” katanya.
Beliau yakin terminal baharu itu mampu menampung peningkatan jumlah penumpang selari dengan pertumbuhan ketibaan pelancong ke Sabah.
Tahun lalu, Sabah merekodkan 3.8 juta pelawat, meningkat lebih 20 peratus dengan hasil pelancongan mencecah RM8.7 bilion.
Selama lebih dua dekad, terminal ini menjadi pintu masuk utama ke pulau-pulau dalam Taman Tunku Abdul Rahman, termasuk Manukan, Gaya, Sapi dan Mamutik.
“Ia bukan sahaja hab pengangkutan, tetapi juga mercu tanda penting yang menghubungkan pelawat ke destinasi pulau terkenal Sabah, sekali gus mengukuhkan peranan Kota Kinabalu sebagai hab pelancongan maritim,” katanya.
Hajiji berkata, penambahbaikan terminal itu dijangka meningkatkan keyakinan pelancong, merangsang aktiviti ekonomi tempatan serta membuka lebih banyak peluang perniagaan.
“Usaha ini juga akan menyokong sasaran negeri untuk menarik lebih empat juta pelancong tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan itu selari dengan inisiatif Tahun Melawat Malaysia serta mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan maritim utama di rantau ASEAN.
Projek itu juga sejajar dengan agenda Sabah Maju Jaya 2.0 yang menekankan pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi, ekonomi biru dan pelancongan mampan.
Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri kekal komited memastikan pembangunan dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan menitikberatkan pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti setempat.
Terminal Feri Jesselton Point merupakan sebahagian daripada pembangunan Jesselton Waterfront City bernilai RM9.2 bilion yang bertujuan mentransformasikan kawasan pesisir Kota Kinabalu menjadi destinasi bertaraf dunia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Suria Capital Holdings Berhad dan anak syarikatnya, Suria Bumiria Sdn. Bhd., atas kejayaan merealisasikan projek tersebut.
“Kejayaan ini mencerminkan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta dalam menjayakan agenda pembangunan negeri,” katanya.
































