Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Lapan mangsa termasuk dua kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan UMS berhampiran Kampung Delima Sulaman, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.29 petang itu, kemalangan melibatkan sebuah Toyota Fortuner, Proton Saga dan Proton Exora.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu ke lokasi kejadian.
Katanya, seramai 11 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) tiba di lokasi pada jam 5.50 petang, kira-kira 20 kilometer dari balai.
“Komander Operasi melaporkan kemalangan jalan raya melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Toyota Fortuner, Proton Saga dan Proton Exora.
“Terdapat lapan mangsa terlibat dan semuanya mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa terdiri daripada seorang lelaki yang menaiki Toyota Fortuner, seorang lelaki dari Proton Saga, manakala Proton Exora membawa seorang lelaki, tiga wanita dan dua kanak-kanak.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa sebelum diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS dan petugas kesihatan.
“Kesemua mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan EMRS, ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi yang diketuai PBK I Masri Gari itu turut dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM dan APM.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.53 petang selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
































