Hajiji bersama delegasi bergambar dengan pasukan keselamatan ketika lawatan ke Pulau Bakungan Kecil, Sandakan, hari ini.
SANDAKAN: Kerajaan Negeri akan mengkaji cadangan untuk menghidupkan semula perdagangan barter antara Sabah dan selatan Filipina.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, walaupun pelbagai cadangan telah diterima, satu penilaian menyeluruh perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Beliau menegaskan semua aspek akan dipertimbangkan, khususnya berkaitan keselamatan serta manfaat ekonomi kepada peniaga dan negeri.
“Kita akan mengkaji perkara ini kerana banyak pihak telah mencadangkannya. Semua aspek akan diambil kira, terutama keselamatan dan manfaatnya kepada ekonomi kita.
“Perkara ini akan dibincangkan lanjut dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke beberapa pulau yang menempatkan pos keselamatan di perairan Sandakan hari ini.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada Program Pemeriksaan Keselamatan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Turut mengiringi beliau ialah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos, serta beberapa pemimpin negeri dan Persekutuan.
Delegasi turut melawat Pulau Bakungan Kecil, Pulau Selingan dan Pulau Langkayan.
Hajiji berkata, program itu bertujuan menilai keadaan di pulau-pulau berkenaan yang menempatkan anggota penguat kuasa Sabah Parks dan pasukan keselamatan.
Ia juga memberi peluang kepadanya melihat sendiri keadaan pos-pos keselamatan di perairan Sandakan.
“Daripada pemeriksaan ini, saya berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan kita, termasuk kemudahan di pos kawalan yang berada dalam keadaan baik dan telah ditambah baik.
“Saya telah membangkitkan perkara ini kepada Perdana Menteri dan beberapa aset telah diluluskan, namun masih banyak yang diperlukan.
“Ia penting untuk membolehkan pasukan keselamatan memantau perairan kita dengan lebih berkesan, terutama aset canggih bagi mengesan sebarang pencerobohan,” katanya.
Beliau turut yakin tahap keselamatan yang kukuh di perairan pantai timur Sabah akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi, khususnya sektor pelancongan.
“Sudah lama tiada insiden dilaporkan di perairan kita, ini pastinya menggalakkan sektor pelancongan.
“Apabila keadaan aman dan keselamatan terjamin, lebih ramai pelancong akan datang dan industri ini akan berkembang.
“Pulau Sipadan, misalnya, merupakan destinasi menyelam bertaraf dunia, jadi kita mesti memastikan keselamatan terus terpelihara untuk mengekalkan tarikan ini,” katanya.
































