Suasana sekitar kempen 1R1JG di balai bomba.
KENINGAU : Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) daerah Keningau terus diperkasa menerusi penglibatan tiga kluster utama iaitu pendidikan, keselamatan dan ibadat.
Timbalan Pengarah Akademik Kolej Vokasional Keningau, Amirul Ahuar berkata, sambutan kemerdekaan bukan sekadar meraikan kebebasan, sebaliknya menjadi ruang untuk masyarakat menghayati tanggungjawab serta kesetiaan kepada negara.
“Semangat merdeka hendaklah diterjemahkan dengan mengetepikan perpecahan dan membuka lembaran baru demi membina Malaysia yang harmoni.
“Selain itu, penghayatan kemerdekaan wajar diterapkan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam kalangan generasi muda sebagai pewaris masa depan negara.
“Kesetiaan kepada negara dan keikhlasan untuk berbakti adalah antara langkah kecil yang mampu menuai perkara-perkara besar,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 di Kolej Vokasional Keningau, pada Khamis.
Kolej Vokasional Keningau menjadi antara lokasi pelaksanaan kempen 1R1JG bagi Kluster Pendidikan, sementara Kluster Keselamatan melibatkan Balai Bomba Keningau dan Kluster Ibadat di Masjid Al-Zilal, Kampung Bayangan.
Masjid berkenaan turut menjadi lokasi penyerahan Wakalah Zakat daripada Badan Kebajikan Islam TM (BAKIT TM Sabah) yang disampaikan Pengurus Pemasaran dan Hubungan Awam TM Sabah, Nurul Izza Ripin kepada Pengerusi Masjid Al-Zilal, Kampung Bayangan, Rosimum Wasimin.
Pengisian kempen diteruskan dengan penyerahan kit bendera di Tokong Keningau, serta Program Langkah Jiwa Merdeka di sekitar Pekan Keningau.
































