Masiung memukul gong sebagai tanda perasmian Pesta Kaamatan Mukim Tongod.
TONGOD: Rakyat Sabah diingatkan kembali kepada tujuan asal Pesta Kaamatan iaitu menghasilkan tanaman padi, susulan amaran global bahawa bekalan beras import mungkin sukar diperoleh menjelang penghujung tahun ini.
ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, negara berdepan risiko krisis bekalan beras dalam tempoh enam bulan akan datang jika orang ramai tidak berusaha menghasilkan tanaman padi sendiri.
Pengerusi Kumpulqn SEDCO itu berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Mukim Tongod di Dewan Tertutup Majlis Daerah Tongod, semalam.
Masiung berkata, Malaysia mungkin berdepan gangguan bekalan sekiranya negara pengeksport beras menghentikan eksport masing-masing, terutama jika krisis di Asia Barat berlarutan.
Katanya, konflik bersenjata yang semakin meruncing di Asia Barat melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran berisiko menjejaskan rantaian bekalan makanan global.
Masiung berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut mengingatkan bahawa stok fizikal beras negara hanya mampu menampung keperluan sehingga enam bulan.
“Pesta Kaamatan wajar menjadi pendekatan untuk rakyat kembali ke akar umbi dengan bertani, menanam dan menghasilkan padi sendiri seperti dilakukan nenek moyang kita supaya bekalan makanan keluarga tidak terputus.
“Negara seperti India, Myanmar dan Vietnam telah menghadkan eksport beras ke Malaysia sejak 2025, selain mengenakan cukai eksport yang tinggi sehingga menyebabkan harga beras import meningkat,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Sabah tidak boleh terus bergantung kepada bekalan import, khususnya dari Thailand, Vietnam dan Kemboja yang kini turut berdepan fenomena El Nino sehingga menjejaskan pengeluaran padi.
Beliau berkata, sudah tiba masanya rakyat merebut peluang melalui pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri untuk menanam padi di tanah sendiri.
Menurutnya, Jabatan Pertanian, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) menawarkan pelbagai subsidi bagi tanaman padi sawah dan padi bukit sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada import.
Sabah ketika ini mengimport kira-kira 400,000 tan metrik beras setahun, sedangkan pengeluaran tempatan hanya sekitar 120,000 tan metrik.
































