James Ratib
KOTA KINABALU: Tiada sekolah daif di Sabah, sebaliknya hanya melibatkan bangunan daif yang sedang ditangani secara berfasa, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi, Datuk James Ratib.
Beliau berkata, bagi 2025, peruntukan RM11.55 juta disediakan untuk projek bangunan daif skala 6 melibatkan 13 sekolah yang kini dalam pembinaan.
“Setakat 28 April 2026, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) telah menerima RM94.7 juta, manakala bagi skala 7 tahun ini, sebanyak 47 sekolah diluluskan dengan nilai keseluruhan RM1.047 bilion,” katanya ketika menggulung perbahasan untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
James berkata, faktor geografi Sabah terutama di kawasan pedalaman dan kepulauan terus menjadi cabaran dari segi kos, logistik dan tempoh pelaksanaan projek.
“Justeru, pendekatan kementerian dan JPNS adalah secara berfasa dan bersasar. Pada masa sama, kemudahan asas termasuk capaian internet akan terus dipertingkatkan bagi menyokong pembelajaran,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, transformasi digital kekal sebagai keutamaan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta daya saing negeri.
Katanya, KPSTI terus memacu pendidikan berasaskan digital, memperkasa bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain menyelaras Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kerajaan Negeri dengan kerjasama industri turut memperkukuh TVET melalui latihan industri, pertukaran kepakaran dan pembangunan kurikulum secara kolaboratif bagi memenuhi keperluan pasaran kerja,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan menyasarkan semua sekolah dilengkapi papan pintar bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran lebih interaktif, di samping meningkatkan minat pelajar dalam STEM dan TVET.
Beliau berkata, kerjasama antara JPSM dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut dilaksanakan bagi menawarkan Ijazah Kejuruteraan Teknologi Air di ILTP Papar dengan sokongan pembiayaan Rancangan Malaysia Ke-13.
Selain itu, katanya, KPSTI meneroka peluasan pusat inkubator serta memperkasa Pusat E-Luar Bandar sebagai hab inovasi digital bagi merapatkan jurang akses di luar bandar.
Mengenai pendigitalan, James berkata, kementerian kini melaksanakan Sabah AI Strategy Roadmap sebagai hala tuju penggunaan kecerdasan buatan (AI) di peringkat kerajaan negeri.
Katanya, melalui Jabatan Teknologi, Digital dan Inovasi (JTDI), pelbagai inisiatif digerakkan termasuk kerjasama dengan Google Malaysia bagi penggunaan AI dalam penyediaan dokumen, analisis data dan komunikasi.
Dalam pada itu, beliau berkata, isu jurang pendidikan bandar dan luar bandar terus diberi perhatian serius oleh kementerian dan JPNS.
Antara langkah diambil termasuk meningkatkan latihan guru luar bandar, menambah baik capaian internet serta melaksanakan program sokongan seperti Duta Guru dan CikguTube.
“Kerajaan Negeri komited memastikan tiada pelajar tercicir daripada akses kepada pendidikan berkualiti,” katanya.
































