Rubin Balang
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang memperincikan cadangan untuk memperkenalkan reka bentuk bertingkat bagi Program Rumah Mesra SMJ (RMSMJ).
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang berkata, inisiatif itu kini dalam proses penyediaan kertas kabinet sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan dalam masa terdekat.
“Cadangan menyediakan pilihan RMSMJ bertingkat ini pernah diutarakan sebelum ini dan kementerian sedang mengkaji kesesuaiannya bagi memastikan rumah yang dibina kekal selesa dan selamat untuk golongan sasar,” katanya ketika menggulung perbahasan untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Rubin menjelaskan, agihan kuota bagi program RMSMJ kekal sebanyak 50 unit bagi setiap kawasan DUN, di mana pemilihan akhir akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah.
Katanya, pelaksanaan program tahun ini telah bermula seawal Januari lalu, merangkumi proses penerimaan permohonan sehingga fasa permulaan projek di peringkat daerah.
“Kriteria utama penerima adalah mangsa bencana alam yang disahkan, Orang Kelainan Upaya (OKU) berdaftar, pemilik rumah daif, belia yang baharu berkahwin, atau mereka yang tersenarai dalam sistem eKasih,” jelasnya.
Menyentuh mengenai cadangan pembinaan RMSMJ secara berkelompok (kluster) di Kg. Lok Kawi Baharu, Putatan, Rubin menegaskan tapak tersebut didapati belum sedia untuk dibangunkan hasil siasatan teknikal.
Menurut beliau, lokasi berkenaan dikenal pasti berada dalam kawasan tadahan air yang berisiko tinggi terhadap banjir dan mendapan tanah.
“Kementerian tidak akan berkompromi kerana pembinaan tanpa kerja tanah, penstabilan cerun, dan sistem perparitan yang sistematik hanya akan mengundang risiko bencana kepada penghuni pada masa hadapan.
“Pendekatan kami adalah menyediakan kediaman yang selamat. Justeru, pematuhan spesifikasi dan kualiti adalah wajib, manakala kejayaannya bergantung kepada kontraktor yang kompeten,” tegasnya sambil menambah pemantauan lapangan akan diperketatkan tahun ini.
Dalam pada itu, Rubin turut mengesahkan kos penyediaan utiliti elektrik kini termasuk dalam skop pembinaan RMSMJ, tertakluk kepada kemudahan talian grid sedia ada.
Malah, bermula tahun ini, kemudahan sebatang tiang elektrik telah diambil kira sepenuhnya dalam kos pembinaan bagi memudahkan akses bekalan kepada penerima.
Mengenai pembangunan infrastruktur luar bandar, beliau memaklumkan peruntukan sebanyak RM4.06 bilion telah diperuntukkan bagi memperkasakan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) sepanjang tempoh RMKe-13.
Projek tersebut akan dilaksanakan secara bersama oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Jabatan Air Sabah, serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah.
Berkenaan prasarana pentadbiran, Rubin memaklumkan pembinaan Pejabat Daerah Kota Belud yang baharu dengan siling peruntukan RM13 juta kini dalam fasa reka bentuk.
“Pembinaan dijangka bermula pada Januari 2027 dengan tempoh penyiapan selama 30 bulan,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkasakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melalui kenaikan elaun pengerusi sebagai pengiktirafan terhadap tanggungjawab mereka di peringkat akar umbi.
































