Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bersama Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya ketika menghadiri persidangan DUN Sabah hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus memperkukuh tindakan perubahan iklim menerusi Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCAC) yang telah menunjukkan kemajuan signifikan sejak penubuhannya.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, SCAC yang diluluskan penubuhannya oleh Jemaah Menteri Negeri pada 2022 telah bersidang sebanyak enam kali, dengan mesyuarat pertama diadakan pada 26 April tahun sama.
Menurut beliau, majlis itu turut melaksanakan dua kajian rintis penting iaitu Penilaian Kerentanan terhadap risiko perubahan iklim serta Laporan Inventori Gas Rumah Kaca (GHG) Sabah 2024, yang merupakan laporan subnasional pertama seumpamanya di Malaysia.
“Usaha ini memberi Kerajaan Negeri pemahaman komprehensif mengenai tahap pelepasan merentasi pelbagai sektor ekonomi, sekali gus mengesahkan status Sabah sebagai karbon negatif (net sink), satu sumbangan signifikan kepada agenda perubahan iklim negara,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (Sook) yang bertanya apakah status terkini pelaksanaan Majlis Tindakan Iklim Sabah (SCAC) sejak penubuhannya pada tahun 2024, termasuk struktur, peranan serta pelan tindakan yang telah dirangka bagi menangani isu perubahan iklim di Sabah.

Ceasar Mandela Malakun
Mandela berkata, susulan dapatan kajian tersebut, sebuah jawatankuasa kerja telah ditubuhkan bagi merangka undang-undang perubahan iklim negeri bagi memperkukuh tadbir urus dan tindakan iklim secara menyeluruh.
Katanya, usaha itu membuahkan hasil apabila Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025 diluluskan pada Julai tahun lalu.
“SCAC dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, dengan keanggotaan terdiri daripada Setiausaha-Setiausaha Tetap serta Ketua-Ketua Jabatan daripada pelbagai kementerian dan agensi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata SCAC berperanan membantu Kerajaan Negeri menetapkan hala tuju serta menyelaras pelaksanaan projek mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.
Selain itu, katanya, majlis berkenaan turut bertindak sebagai pusat rujukan utama kerajaan negeri dalam pelaksanaan agenda perubahan iklim di peringkat negeri dan kebangsaan.
“Ia juga berfungsi sebagai pemangkin kepada tindakan agensi kerajaan serta menggalakkan penglibatan pelbagai pihak, di samping membuka peluang sosioekonomi melalui pembangunan rendah karbon,” katanya.
Mandela berkata, SCAC kini sedang membangunkan pelan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim melalui penyelarasan bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
“Langkah ini penting memandangkan Sabah antara negeri yang terdedah kepada impak perubahan iklim dan memerlukan pendekatan yang tersusun serta bersepadu,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga sedang mempertingkat kapasiti agensi berkaitan dalam pengumpulan data inventori GHG bagi memastikan pelaporan sejajar dengan garis masa negara kepada United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC).
Menurut beliau, usaha turut dilakukan untuk mengenal pasti faktor khusus Sabah bagi membangunkan inventori GHG yang lebih tepat dan bertepatan dengan konteks tempatan pada masa hadapan.
“SCAC juga sedang meneliti pelbagai projek mitigasi serta cadangan projek karbon di Sabah bagi memperkukuh lagi kedudukan negeri dalam agenda perubahan iklim,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim Sabah (SaCRIC) susulan pewartaan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025.
Katanya, pusat berkenaan akan bertanggungjawab menyelia penguatkuasaan enakmen selain mengawal selia aktiviti karbon di negeri ini.
“Sebagai persediaan, peraturan-peraturan berkaitan sedang dirangka bagi memastikan pengoperasian pusat ini berjalan lancar,” katanya.
Mandela berkata, SCAC juga akan bertindak sebagai badan induk dalam merangka Dasar Perubahan Iklim Negeri yang mengambil kira keunikan ekologi dan landskap sosioekonomi Sabah.
“Dasar ini akan diselaraskan dengan agenda nasional melalui kerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk dalam aspek pelaporan, akses pembiayaan iklim dan pematuhan kepada komitmen Malaysia di bawah UNFCCC serta Perjanjian Paris,” katanya.
































