KOTA KINABALU: Dua individu tempatan berusia lingkungan 30-an menjadi fokus tindakan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi dalam Ops Tiris 4.0, Isnin lalu.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, kedua-dua individu terbabit ditahan dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak sekitar bandar ini kira-kira jam 12.05 tengah hari hasil risikan Unit Risikan Sabah.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati dua kenderaan yang diparkir di pam nombor 6 dan 8 digunakan untuk menjalankan kegiatan tersebut secara terancang.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua individu ini menggunakan tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter yang diisi kira-kira 800 liter diesel setiap satu.
“Diesel tersebut dipindahkan dari tangki asal kenderaan ke dalam tangki IBC menggunakan sistem hos dan pam elektrik yang telah diubah suai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua individu itu diarahkan mengemukakan dokumen berkaitan termasuk buku stok serta resit pembelian dan penjualan diesel, namun gagal berbuat demikian.
Katanya, kegagalan tersebut menguatkan elemen kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan melakukan kesalahan.
Dalam kes pertama, rampasan melibatkan sebuah kenderaan jenis Isuzu Trooper bersama tangki IBC, pam elektrik, hos getah dan minyak diesel dengan nilai keseluruhan RM12,695.
Manakala kes kedua membabitkan sebuah van Toyota Lite Ace bersama tangki IBC, dua unit pam elektrik, hos getah serta minyak diesel dengan nilai rampasan RM10,050.
“Jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes ini adalah RM22,745, sekali gus membuktikan ketegasan KPDN dalam membanteras ketirisan subsidi negara,” katanya.
Shahril Nizam menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan bersubsidi.
Beliau turut mengingatkan bahawa aktiviti sedemikian merupakan kesalahan serius yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat dan ekonomi negara.
Sehubungan itu, orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada KPDN sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penyelewengan barang kawalan.
Katanya, kerjasama orang awam amat penting bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.






























