RANAU: Sebanyak RM10,000 disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Dua melalui peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan bagi menyokong pembangunan sekolah, khususnya dalam memperkasa bidang kurikulum dan kokurikulum.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memajukan sektor pendidikan di kawasan berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan menegaskan bahawa usaha memperkukuh kualiti pendidikan sentiasa menjadi keutamaan, terutama dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Sumbangan tersebut telah disampaikan melalui wakilnya, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Johari Suhaimin pada Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sesi 2026 serta Sambutan Hari Raya Aidilfitri PIBG yang diadakan baru-baru ini.
Sementara itu, Johari berkata, pendidikan merupakan asas penting dalam pembangunan sesebuah negeri dan perlu diberi perhatian berterusan.
Katanya, pelaburan dalam sektor pendidikan bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah turut menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan sosial masyarakat secara keseluruhan.
“Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian dan sokongan kepada sekolah-sekolah, khususnya di kawasan luar bandar bagi memastikan mereka tidak ketinggalan atau tercicir,” katanya.
Beliau turut berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak sekolah untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan pelajar.
Antara program yang boleh dilaksanakan termasuk aktiviti akademik, sukan, kepimpinan serta pembangunan sahsiah diri pelajar.
Sementara itu, Guru Besar SK Pekan Dua, Saloma Eukun merakamkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan sekolah berkenaan.
Menurutnya, bantuan tersebut bukan sahaja memberi sokongan dari segi kewangan, malah menjadi pemangkin semangat kepada warga pendidik dan pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
Beliau berkata, sokongan seperti ini amat penting dalam membantu sekolah luar bandar meningkatkan kualiti pendidikan dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Tambahnya, pihak sekolah komited untuk memastikan setiap peruntukan yang diterima dimanfaatkan secara optimum demi kepentingan pelajar.
Majlis berkenaan turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara pihak sekolah dan komuniti setempat melalui penglibatan aktif PIBG.
Ia sekali gus memperkukuh kerjasama antara ibu bapa, guru dan masyarakat dalam usaha melahirkan generasi yang cemerlang dan berdaya saing.


































