Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Sebanyak 2,000 tiket percuma akan diagihkan kepada penyokong Sabah FC bagi menyaksikan perlawanan akhir Malaysian Football League (MFL) Challenge Cup 2026 di Stadium Likas pada 19 April ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, inisiatif itu bertujuan menyuntik sokongan padu kepada pasukan Sabah FC yang kini berada di ambang menamatkan kemarau kejuaraan.
“Ini adalah tanda sokongan kita untuk memastikan stadium dipenuhi dan memberi semangat kepada pasukan.
“Saya menyeru penyokong agar turun beramai-ramai memenuhi stadium yang mampu menampung kira-kira 20,000 penonton bagi memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Sabah FC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pengagihan tiket percuma itu akan dilaksanakan secara ‘first come, first serve’ oleh urusetia di Pejabat Lembaga Sukan Negeri Sabah pada Sabtu ini.
Katanya, langkah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan suasana stadium yang meriah sekali gus memberi kelebihan kepada Sabah FC yang akan beraksi di laman sendiri.
Perlawanan akhir itu merupakan aksi timbal balik selepas pertemuan pertama di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 4 April lalu berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Dalam pada itu, Nizam turut menyatakan harapan agar Sabah FC dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Likas untuk muncul juara.
“Kita berharap agar Sabah dapat menjadi juara MFL Challenge Cup edisi 2026 ini.
“Sekiranya kita dapat menang, maknanya kita telah memecahkan kemarau piala bola sepak Malaysia kerana sudah terlalu lama kita tidak memiliki apa-apa piala dalam Liga Bola Sepak Malaysia,” katanya.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dijangka turut hadir menyaksikan perlawanan akhir tersebut sebagai tanda sokongan kepada pasukan negeri.


































