Hajiji (dua dari kanan) dan Shahelmey (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SOGDC dan rakan industri EA Gibson–WEC di Menara Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat daripada delegasi Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) bersama rakan strategiknya, serta menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bagi cadangan pembangunan hab tenaga di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Kunjungan itu diadakan bersempena cadangan projek kerjasama antara SOGDC dan EA Gibson sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab tenaga serantau.
Delegasi SOGDC diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya bersama Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Mohd. Azmir Ramli serta ahli-ahli lembaga pengarah.
Turut hadir ialah wakil rakan antarabangsa, termasuk Ketua Pegawai Operasi Aboitiz, Anton Perdises; Ketua Pegawai Eksekutif Negara ACWA, Matthew Chandapillai; Pengarah EA Gibson, Owen Bolton; Pengarah Eksekutif WEC, Mathew Lee; Pengarah Eksekutif Green Parrot (Abu Dhabi), Miran Sepich; serta Pengarah Projek Jabatan Gas EA Gibson, Tonci Tokic.
Dalam pertemuan itu, Hajiji dan Shahelmey menyaksikan pertukaran beberapa MoU strategik dan komersial antara SOGDC dan rakan industri, termasuk ACWA Power, Aboitiz Power Ltd. dan WEC, yang menggariskan kerjasama awal bagi pembangunan projek Hab Tenaga di SOGIP.
Menurut SOGDC, cadangan pembangunan tersebut melibatkan pembinaan hab penyimpanan dan pengedaran tenaga bersepadu meliputi kira-kira 275 ekar, yang merangkumi kemudahan penyimpanan gas asli cecair (LNG), ammonia dan hidrogen, selain infrastruktur petrokimia serta penjanaan tenaga.
Sebagai komponen utama projek, satu kajian kebolehlaksanaan akan dilaksanakan bersama ACWA Power bagi pembangunan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) dengan kapasiti antara 400 hingga 500 megawatt (MW). Selain itu, Aboitiz Power sedang meneroka pembangunan sistem grid penghantaran tenaga, manakala WEC mempertimbangkan pembinaan jeti dan tangki simpanan.
Sementara itu, Saudi Aramco turut menyatakan minat awal untuk menyertai projek berkenaan sebagai rakan strategik dan pembekal utama LNG bagi hab tenaga tersebut.
Hajiji berkata, inisiatif itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkukuh sektor tenaga sebagai pemacu utama ekonomi Sabah.
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan cadangan pembangunan hab tenaga ini kerana ia bukan sahaja berpotensi menarik pelaburan berkualiti tinggi, malah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan industri hiliran di Sabah.
“Kita komited menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pelabur, di samping memastikan setiap pembangunan memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negeri,” katanya.
Beliau menambah, pembangunan SOGIP sebagai hab tenaga bersepadu akan terus meningkatkan daya saing Sabah dalam industri minyak dan gas.
Inisiatif SOGDC itu dijangka memperluas kapasiti infrastruktur tenaga negeri, menarik pelaburan bernilai tinggi serta menyokong pertumbuhan industri jangka panjang, khususnya di kawasan SOGIP.






























