Julita (tiga dari kanan), Dr. Thirunavukarasu (tiga dari kiri), Dr. Brandon (kanan) dan Dr. Christina (dua dari kanan) bersama peserta seminar.
KOTA KINABALU: Sistem kesihatan Sabah kini berdepan kekurangan tenaga kerja yang semakin serius ketika permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan terus meningkat.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), hanya 2,884 doktor sedang berkhidmat di negeri ini berbanding keperluan dianggarkan sekitar 9,000.
Katanya, jurang besar itu mencerminkan cabaran berterusan dalam memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan rakyat di Sabah.
“Keadaan ini turut menunjukkan isu sistemik yang lebih mendalam termasuk penurunan minat terhadap profesion perubatan serta kesukaran mengekalkan doktor di negeri ini,” katanya ketika merasmikan Seminar Hak dan Tanggungjawab Doktor anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, hari ini.
Julita turut merujuk trend nasional oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menunjukkan hanya 10 peratus daripada 5,000 penempatan doktor baharu diisi pada awal tahun ini.
Katanya, situasi itu memberi gambaran penyusutan sumber bakal doktor pada masa hadapan yang boleh terus menekan sistem kesihatan jika tidak ditangani segera.
Menurutnya, kekurangan doktor memberi kesan langsung kepada penyampaian perkhidmatan apabila petugas kesihatan terpaksa menanggung beban kerja lebih tinggi.
“Doktor bukan sahaja merawat pesakit, tetapi juga mengurus kekangan dari segi infrastruktur dan tenaga kerja, khususnya di kawasan pedalaman dengan sumber terhad.
“Walaupun berdepan cabaran, ramai doktor terus berkhidmat dengan komitmen tinggi, terutama di kawasan luar bandar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui Sabah masih berdepan jurang ketara dari segi infrastruktur kesihatan apabila banyak fasiliti memerlukan naik taraf.
“Sebahagian klinik dan hospital masih memerlukan penambahbaikan, malah di beberapa kawasan, akses asas kesihatan juga masih menjadi cabaran,” katanya.
Julita berkata, Kerajaan Negeri telah membangkitkan keperluan kesihatan Sabah secara langsung kepada KKM, termasuk permohonan tambahan peruntukan bagi mempercepat pembangunan infrastruktur.
Katanya, perkara itu turut diketengahkan dalam perbincangan dasar termasuk di bawah jawatankuasa teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau turut menekankan keperluan menambah baik insentif kepada doktor, khususnya yang berkhidmat di kawasan luar bandar.
“Saya ingin menegaskan keperluan Kerajaan Persekutuan menilai semula Bayaran Insentif Wilayah (BIW) dan mempertimbangkan untuk mengembalikannya kepada bentuk asal.
“Selain itu, elaun kos sara hidup perlu ditambah baik bagi memastikan motivasi dan pengekalan doktor, khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan usaha MMA dalam mempromosikan profesion perubatan kepada pelajar sebagai langkah melahirkan lebih ramai doktor pada masa hadapan.
“Kita perlu membina saluran lebih kukuh untuk melahirkan doktor baharu, di samping memastikan mereka yang sedang berkhidmat mendapat sokongan sewajarnya,” katanya.
Turut hadir Presiden MMA, Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo, Pengerusi MMA Cawangan Sabah, Dr. Brandon Patrick Senagang serta bekas Pengarah JKNS, Datuk Dr. Christina Rundi yang turut menjadi penceramah seminar.


































