KOTA KINABALU: Sebanyak 71.3 tan lebihan makanan berjaya diselamatkan sepanjang bulan Ramadan tahun ini menerusi pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) di seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan pendekatan bersepadu melibatkan kerajaan, industri dan komuniti dalam menangani isu pembaziran makanan.
“Sepanjang Ramadan lalu, pelaksanaan i-FB@Bazar Ramadan 2026 berjaya menyelamatkan sebanyak 71.3 tan lebihan makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.
“Bagi Sabah sahaja, sebanyak 2.6 tan makanan berjaya diselamatkan hasil pelaksanaan program ini di bazar-bazar Ramadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, program tersebut dilaksanakan di 119 bazar Ramadan di seluruh negara dengan penglibatan seramai 2,875 sukarelawan.
Katanya, inisiatif itu bukan sahaja membantu golongan memerlukan, malah turut menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar melalui pengurangan pelepasan karbon dioksida serta mengurangkan lambakan sisa makanan di tapak pelupusan.
Dalam pada itu, Armizan berkata kementeriannya akan terus memperkukuh kerjasama bersama rakan strategik termasuk pihak industri, peniaga dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperluas pelaksanaan i-FB.
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan lebih banyak pihak dalam inisiatif yang diselaraskan melalui Sekretariat i-FB di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
“Pendekatan kolaboratif ini penting dalam menggerakkan usaha ‘Santuni Komuniti, Sayangi Alam, Selamatkan Makanan’ sebagai teras utama inisiatif ini,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan Jetsin Sdn Bhd, sebuah syarikat pembekal dan peruncit makanan sejuk beku halal di Kota Kinabalu, secara rasmi menyertai inisiatif berkenaan.
Katanya, penyertaan syarikat itu bersama rakan strategik lain seperti Persatuan Jurumasak Sabah dan Persatuan Dapur Kita Sabah dijangka memperkukuh pelaksanaan program “Dapur Kita-Kita”.
“Melalui i-FB@Dapur Kita-Kita, sebanyak 200 pek makanan bermasak telah diagihkan kepada golongan memerlukan di sekitar Kota Kinabalu dengan penglibatan sukarelawan termasuk mahasiswa institusi pengajian tinggi,” katanya.
Armizan berkata kementerian kini sedang menyediakan Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan bagi memperkasa lagi pelaksanaan inisiatif itu.
Katanya, pelan tersebut turut merangkumi usaha mengenal pasti bentuk pengiktirafan yang wajar diberikan kepada pihak yang menunjukkan komitmen berterusan dalam menjayakan program berkenaan.
































