Nizam Abu Bakar Titingan
TAWAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) kini berada dalam keadaan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), termasuk memberi tumpuan kepada pemilihan calon berpotensi di kawasan Tawau.
Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pihaknya telah mengemukakan tiga nama calon kepada pucuk pimpinan parti sebagai langkah awal dalam proses pemilihan.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan calon yang dipilih benar-benar memenuhi kehendak rakyat serta mampu membawa aspirasi kerajaan perpaduan.
“Calon yang diketengahkan mestilah diterima rakyat dan mampu memberi perkhidmatan terbaik,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, hari ini.
Nizam yang juga Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif berkata, jentera parti sentiasa berada dalam keadaan aktif dan terus melaksanakan gerak kerja berterusan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu.
Katanya, kesiapsiagaan itu penting bagi memastikan parti terus relevan dan dekat dengan rakyat di semua peringkat.
Tambah beliau, keyakinan terhadap sokongan rakyat kekal kukuh, khususnya terhadap Kerajaan Negeri yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau yakin prestasi dan usaha Kerajaan Negeri dalam membangunkan Sabah akan terus mendapat kepercayaan rakyat menjelang PRU16 nanti.
































