Dr. Joachim mengabadikan gambar kenangan bersama ahli keluarga Sinakagon Gorihom Om Gapaya dan tetamu yang hadir pada majlis tersebut.
RANAU: Sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja menjadi platform memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama, malah turut mempererat nilai kekeluargaan melalui pertemuan bersama sanak saudara.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, dalam kesibukan kehidupan seharian, peluang untuk berkumpul bersama ahli keluarga, termasuk mereka yang tinggal berjauhan, adalah sesuatu yang amat bermakna dan perlu dimanfaatkan sebaiknya.
“Majlis seperti Sinakagon Gorihom Om Gapaya yang dianjurkan sempena rumah terbuka ini memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan, khususnya apabila ahli keluarga dapat berkumpul dan berinteraksi dalam suasana yang harmoni dan penuh kegembiraan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Sinakagon Gorihom Om Gapaya di Dewan Terbuka Rimbunan Hijau Residence, Kampung Silou, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan pelbagai aktiviti Hari Keluarga yang melibatkan penyertaan masyarakat setempat.
Dr. Joachim berkata, majlis seumpama itu memberi ruang kepada setiap ahli keluarga untuk bertemu, bermaaf-maafan dan memperbaharui hubungan kekeluargaan.
“Ini bukan sekadar sambutan perayaan, tetapi menjadi wadah untuk mengukuhkan ikatan antara generasi dalam keluarga,” katanya.
Tambah beliau, tanpa pertemuan seperti ini, peluang untuk ahli keluarga saling mengenali dan mengeratkan hubungan akan menjadi lebih terbatas, khususnya bagi mereka yang tinggal jauh dan jarang berkesempatan untuk bertemu.
“Sinakagon Gorihom Om Gapaya ini mencerminkan semangat kekeluargaan yang kuat dalam kalangan masyarakat kita. Ia bukan sahaja meraikan Aidilfitri, tetapi juga menjadi simbol penyatuan keluarga dan komuniti dalam suasana yang penuh muhibah.
“Ini merupakan satu titik pertemuan yang sangat bermakna. Di sinilah bermulanya usaha untuk saling mengenali, memahami dan mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli keluarga,” ujarnya.
Katanya, nilai kekeluargaan yang dipupuk melalui majlis seumpama ini perlu terus dipelihara kerana ia menjadi asas kepada keharmonian masyarakat secara keseluruhan.
“Amalan ziarah-menziarahi, berkongsi kegembiraan serta menghargai kehadiran ahli keluarga dalam setiap sambutan perayaan merupakan budaya yang wajar diteruskan dari generasi ke generasi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar sambutan Hari Raya Aidilfitri terus diraikan dengan penuh kesederhanaan, kegembiraan dan semangat kekeluargaan yang kukuh, agar nilai murni ini dapat dikekalkan dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Dr. Joachim dan isteri bersama rombongan mengabadikan gambar bersama Jauteh.
Pada hari yang sama, Dr. Joachim turut menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun di Kampung Singgaron Baru, dekat sini.
Beliau hadir bersama isterinya, Datin Seri Linda Ewit bagi memeriahkan majlis berkenaan.
Turut hadir ialah rombongan dari Pejabat Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kundasang, serta beberapa pemimpin masyarakat setempat.
Sepanjang majlis, para tetamu disambut mesra oleh Jauteh bersama isterinya, Datin Nurhayatie Farhana Abdullah serta ahli keluarga dalam suasana penuh harmoni dan kemeriahan Aidilfitri.
Dalam pada itu, Dr. Joachim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tuan rumah atas jemputan tersebut.
Beliau berharap agar Aidilfitri kali ini membawa lebih keberkatan, keharmonian dan kasih sayang kepada keluarga Jauteh serta seluruh masyarakat yang meraikannya.
“Majlis seperti ini menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat pelbagai latar belakang yang hadir dari beberapa kampung, khususnya di sekitar daerah Ranau,” katanya.
































