Penyampaian Cenderahati Kepada Pelancong yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Bersempena dengan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026), Tourism Malaysia meraikan kedatangan pelawat domestik dan antarabangsa melalui sambutan Hari Raya Aidilfitri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Acara sama turut diadakan serentak di lapan lapangan terbang utama seluruh negara termasuk di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Perak dan Sarawak sebagai usaha memperkukuh promosi pelancongan negara.
Majlis di Kota Kinabalu dirasmikan oleh Pengarah MOTAC Sabah, Chong Wai Kit. Turut hadir Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haryanty Abu Bakar, wakil Sabah Tourism Board, Jessica Francis serta wakil Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, syarikat penerbangan dan agensi berkaitan.
Susulan sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari lalu, siri program perayaan ini terus menyerlahkan kekayaan budaya dan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Para pelawat yang tiba disambut dengan cenderamata perayaan di Balai Ketibaan serta dijemput menikmati juadah tradisional Hari Raya Aidilfitri sebagai cerminan warisan budaya negara dan hospitaliti mesra Malaysia.
Suasana sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan Melayu bertemakan Aidilfitri, termasuk kemunculan maskot VM2026, Wira dan Manja.
Menambahkan lagi kemeriahan ialah acara simbolik mengisi beras dan merebus ketupat yang merupakan tradisi istimewa sempena Hari Raya.
Sambutan yang berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 4 petang itu berjaya menyambut kira-kira 1,500 penumpang antarabangsa dan domestik dari Singapura, Seoul, Kuala Lumpur, Kuching, Tawau dan Sandakan.
Program ini direalisasikan menerusi kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk kementerian dan agensi di bawah MOTAC, syarikat penerbangan, persatuan industri pelancongan serta pihak korporat seperti Malaysia Airports Sdn. Bhd., Sabah Tourism Board, Batik Air, ADABI, Spritzer dan Photobook.
Kerjasama ini mencerminkan sokongan padu semua pihak dalam mempromosikan industri pelancongan negara serta meningkatkan pengalaman pelawat sempena VM2026.
Penganjuran aktiviti perayaan di lapangan terbang merupakan antara strategi berterusan Tourism Malaysia di bawah kempen tersebut bagi memberikan pengalaman ketibaan yang bermakna kepada pelawat.
Inisiatif di pintu masuk antarabangsa ini juga membantu mengukuhkan penjenamaan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang berbudaya, selamat dan mesra pelawat.
Selain itu, pendekatan ini diyakini mampu meninggalkan kesan positif kepada pelawat sekali gus menggalakkan kunjungan berulang ke negara ini.
Dengan penganjuran sambutan perayaan seperti ini, Tourism Malaysia terus memperkukuh profil pelancongan negara di peringkat global sambil meraikan kepelbagaian budaya Malaysia.
Usaha ini selaras dengan objektif VM2026 serta menyokong pembangunan mampan sektor pelancongan negara.
































