Christoper Mandut
KOTA KINABALU: Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Kerajaan Negeri Sabah untuk membantah permohonan penangguhan oleh Peguam Negara Persekutuan berhubung pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berkaitan hak Sabah menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada negeri ini bagi tempoh 1974 hingga 2021 yang dikenali sebagai “Lost Years”.
Ketua Exco Pemuda PBS, Datuk Christoper Mandut berkata, tindakan Kerajaan Negeri mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi adalah wajar kerana perkara tersebut melibatkan hak perlembagaan Sabah yang telah sekian lama tertangguh.
Beliau menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober 2025 jelas mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk mengadakan semakan bersama bagi melaksanakan pemberian geran khas 40 peratus dalam tempoh yang telah ditetapkan.
“Pemuda PBS berpandangan bahawa keputusan mahkamah itu perlu dihormati dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab oleh semua pihak tanpa sebarang usaha yang boleh melambatkan proses penyelesaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christoper berkata, rakyat Sabah telah lama menunggu penyelesaian yang adil terhadap isu pemberian geran khas tersebut, yang merupakan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sebarang usaha untuk menangguhkan pelaksanaan proses ini hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen untuk menghormati hak Sabah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyokong langkah Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah untuk mengambil tindakan perundangan yang sewajarnya bagi memastikan hak dan kepentingan negeri ini terus dipertahankan.
“Pemuda PBS percaya bahawa melalui kerjasama yang konstruktif antara Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, dan Kerajaan Persekutuan, satu penyelesaian yang adil serta selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dapat dicapai demi memastikan hak Sabah terus dipertahankan dan dipulihkan demi kepentingan rakyat negeri ini,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar menghormati proses perundangan yang sedang berjalan serta memberi ruang kepada rundingan yang telus dan berlandaskan semangat Persekutuan.
“Perjuangan menuntut hak Sabah bukan sekadar isu politik, tetapi merupakan tanggungjawab bersama demi masa depan dan kesejahteraan rakyat negeri ini,” tegasnya.
































