KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (MySpaCE) menegaskan komitmen penuh untuk memperkukuh integriti, profesionalisme serta peranan strategiknya dalam pembangunan negeri selari dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, SMJ 2.0 yang digagaskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor merupakan kesinambungan kepada SMJ 1.0, dengan penekanan kepada lonjakan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 bukan sekadar satu dokumen perancangan. Ia adalah komitmen politik dan pentadbiran untuk memimpin perubahan dalam dunia yang semakin kompleks, berdaya saing dan tidak menunggu kita bersedia,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR), di sini, hari ini.
Menurut beliau, penganjuran majlis tersebut bukan sekadar perhimpunan rasmi, sebaliknya mencerminkan iltizam bersama warga kementerian dalam membudayakan tadbir urus berasaskan amanah dan nilai integriti.
“Majlis ini bukan satu ritual kosong, tetapi manifestasi komitmen bersama untuk memperkukuh nilai integriti, profesionalisme dan budaya kerja berteraskan amanah dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Nizam menegaskan bahawa penggunaan nama dan slogan MySpaCE bukan sekadar penjenamaan semula, sebaliknya menuntut standard kerja yang lebih tinggi, pemikiran profesional serta komitmen tanpa kompromi terhadap kesejahteraan rakyat Sabah.
“Rakyat menilai kerajaan bukan pada slogan, tetapi pada kualiti perkhidmatan yang mereka terima setiap hari,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa MySpaCE tidak boleh lagi dilihat sebagai kementerian pinggiran, sebaliknya perlu dibuktikan sebagai kementerian strategik yang menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan sosial, pembentukan modal insan dan kekuatan ekonomi masa hadapan negeri.
“Belia, sukan dan ekonomi kreatif adalah komponen teras kepada pembangunan negeri. Tanggungjawab kita bukan kecil, ia sangat besar dan berimpak jangka panjang,” katanya.
Dalam aspek pembangunan belia, beliau berkata fokus kementerian adalah melahirkan belia yang berkemahiran tinggi, relevan dengan keperluan industri, berdaya saing serta berani mencipta peluang dalam ekonomi baharu, termasuk keusahawanan, ekonomi kreatif, teknologi digital dan sukan.
“Hasrat saya adalah untuk melihat belia Sabah sebagai sebahagian daripada solusi kepada cabaran ekonomi negeri, bukan sekadar penerima manfaat daripada dasar dan bantuan kerajaan,” katanya.
Menyentuh pembangunan sukan, Nizam menegaskan bahawa sukan perlu dilihat sebagai pelaburan sosial dan ekonomi yang mampu menyumbang kepada pembentukan disiplin, kepimpinan, perpaduan serta pertumbuhan industri sukan negeri.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Sabah akan melancarkan Tabung Kebajikan Penggiat-Penggiat Sukan Sabah pada tahun ini bagi menjaga kebajikan atlet, jurulatih dan penggiat sukan secara berterusan dan berstruktur.
“Sukan bukan sahaja diraikan ketika menang, tetapi kebajikan penggiatnya mesti dipelihara,” katanya.
Dalam sektor ekonomi kreatif pula, beliau berkata Sabah memiliki kekayaan budaya dan kreativiti tempatan yang besar, dan usaha perlu dipergiat bagi menterjemahkannya kepada peluang pekerjaan, sumber pendapatan serta produk bernilai tinggi yang mampu menembusi pasaran nasional dan global.
Seiring itu, beliau turut menyatakan hasrat untuk mewujudkan platform pembangunan belia yang lebih tersusun dan inklusif menerusi gagasan Belia Sabah Maju Jaya bagi memperkasa belia secara menyeluruh.
Mengulas Lafaz Ikrar Bebas Rasuah, Nizam menegaskan pendirian tegas kementerian terhadap sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan kecuaian dalam perkhidmatan awam.
“Ini adalah peringatan bahawa amanah yang kita pikul datang daripada rakyat, dan tiada toleransi terhadap sebarang pelanggaran integriti,” katanya.
Beliau menyeru seluruh warga MySpaCE agar bergerak sebagai satu pasukan, berfikir secara strategik, bekerja dengan disiplin dan melaksanakan amanah dengan penuh integriti.
“Saya mahu kementerian ini dikenali sebagai kementerian yang berfokuskan impak, berpaksikan rakyat dan selari sepenuhnya dengan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.
































