Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menegaskan bahawa tindakan Kerajaan Persekutuan meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah hanya akan memanjangkan ketidaktentuan serta menghakis kepercayaan rakyat Sabah terhadap institusi negara.
Berucap dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, pengiktirafan terhadap hak Perlembagaan Sabah tidak seharusnya bercanggah dengan tindakan merayu keputusan mahkamah yang telah mengesahkan kewujudan serta kewajipan pembayaran hak berkenaan.
“Dengan penuh hormat saya nyatakan, dari segi substans dan merit, rayuan ini kelihatan seolah-olah satu usaha untuk mempersoalkan semula hak Perlembagaan Sabah. Mengiktiraf hak tersebut tetapi pada masa yang sama merayu keputusannya merupakan mesej yang amat bercanggah,” katanya.
Menurut Madius, hak 40 peratus itu bukan tuntutan baharu atau ihsan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya termaktub jelas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan serta dijamin melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Beliau mengingatkan bahawa hak tersebut pernah dilaksanakan antara tahun 1965 hingga 1975 sebelum dihentikan tanpa sebarang penjelasan munasabah.
Beliau turut merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 yang memutuskan bahawa hak 40 peratus berkenaan adalah sah, wujud dan mengikat, selain mengeluarkan perintah mandamus supaya rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah dimulakan dalam tempoh 90 hari serta diselesaikan selewat-lewatnya pada 15 April 2026.
“Selepas 96 hari, perkembangan rundingan masih amat perlahan sedangkan tempoh yang tinggal hanyalah 84 hari. Ini bukan masa untuk melengah-lengahkan, sebaliknya masa untuk menunjukkan kesungguhan dan keberanian politik,” katanya sambil mendesak agar rayuan tersebut digugurkan dan pembayaran dilaksanakan dengan segera.
Madius menegaskan bahawa kegagalan mematuhi perintah mahkamah bukan isu kecil kerana ia melibatkan maruah institusi kehakiman serta keyakinan rakyat terhadap prinsip kedaulatan undang-undang.
Menurut beliau, penerusan rayuan hanya akan menambah rasa tidak percaya rakyat Sabah yang telah sekian lama menunggu pelaksanaan hak Perlembagaan mereka.
Mengaitkan isu itu dengan realiti di lapangan, beliau berkata, Sabah masih berdepan jurang pembangunan yang ketara, termasuk keadaan jalan raya luar bandar yang daif, bekalan air dan elektrik yang tidak stabil, lebih 300 sekolah daif serta kadar kemiskinan tertinggi di negara ini.
“Isu 40 peratus ini bukan sekadar soal angka, sebaliknya merupakan asas kewangan yang penting bagi membolehkan Sabah membangun secara lebih tersusun, adil dan bermaruah. Keadilan tidak pernah melemahkan negara, sebaliknya ketidakadilanlah yang meruntuhkan kepercayaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tindakan menggugurkan rayuan bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya lambang keberanian politik serta penghormatan terhadap Perlembagaan, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar semua dokumen dan perjanjian pembentukan Malaysia dihormati serta dilaksanakan sepenuhnya.






























