Pasukan bomba dan orang awam berusaha memadamkan kebakaran itu. -Ihsan Bomba
PUTATAN: Sebanyak 17 buah rumah atas air musnah dalam satu kebakaran besar yang berlaku di Kampung Dumpil, di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.59 pagi melalui talian balai.
“Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan tiba di lokasi kejadian pada jam 7.04 pagi, kira-kira empat kilometer dari balai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kebakaran melibatkan 17 buah rumah jenis tidak kekal, dengan anggaran keluasan setiap rumah 20 kaki x 30 kaki, kecuali sebuah rumah berkeluasan 20 kaki x 40 kaki.
“Sebanyak 14 buah rumah terbakar 100 peratus, sebuah rumah terbakar 50 peratus manakala dua lagi rumah masing-masing terbakar sekitar 10 peratus,” katanya.
Jurucakap itu berkata, operasi pemadaman kebakaran dikawal sepenuhnya pada jam 8.04 pagi dan ditamatkan pada jam 12.51 tengah hari selepas pasukan bomba memastikan keadaan selamat serta tiada bahaya lain.
Beliau memaklumkan, pasukan bomba menggunakan tiga aliran sepanjang 300 kaki dengan lima pancutan air bagi memadam kebakaran, dengan sumber air diperoleh daripada jentera Water Tanker JBPM serta air terbuka dari sungai berhampiran.
“Seramai 22 anggota bomba terlibat dalam operasi ini, melibatkan BBP Putatan, BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang, dengan bantuan beberapa jentera termasuk FRT, CFRT, Water Tanker dan kenderaan Kembara,” katanya.
Menurut beliau, agensi lain yang turut membantu operasi ialah Sabah Electricity dengan dua anggota serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai tiga anggota.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Kes kebakaran berkenaan masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca dan anggaran kerugian.






























