Dr. Joachim (tengah) menerima cenderamata daripada Rosmadi (empat dari kanan).
KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) di Bilik Mesyuarat Lamag, KKRU, di sini, hari ini.
Kunjungan itu menjadi platform pengenalan rasmi selain bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.
Ia juga diadakan bagi menyelaras hala tuju serta pelaksanaan inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, khususnya melibatkan aspek infrastruktur dan utiliti, supaya penyampaian dasar serta perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berimpak tinggi.
Dalam sesi perbincangan, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, berkongsi pandangan serta input kepada Sekretariat SMJ mengenai keadaan semasa infrastruktur jalan raya, bekalan air, sistem pembetungan dan bekalan elektrik di Sabah.
Perbincangan turut menyentuh cabaran pelaksanaan serta keperluan penambahbaikan secara berperingkat bagi memastikan kebolehpercayaan perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan.
Dr. Joachim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rombongan Sekretariat SMJ atas kunjungan tersebut.
Beliau turut menzahirkan harapan agar pelaksanaan serta hala tuju SMJ 2.0 akan menjadi lebih mantap dan berkesan demi manfaat rakyat serta pembangunan Sabah secara keseluruhan.
Rombongan Sekretariat SMJ diketuai Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat SMJ, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai, bersama Ketua Pegawai Operasi Sekretariat SMJ, Datuk Ramlee Kariah serta pegawai-pegawai sekretariat.
































